
Dalam keadaan bekalan pisang yang semakin bekurangan, adalah logiknya semua perbelanjaan negeri G dijimatkan. Ini adalah lazim yang dilakukan oleh negeri-negeri mahupun negara-negara lain. Namun tidak bagi negeri G. Para Bendahara dan Maharaja Y seakan tidak peduli akan penyusutan bekalan pisang yang semakin tidak terkawal dek kebengapan corak pentadbiran mereka.
Bertambah bengap dan dungu lagi apabila Maharaja Y membuat keputusan yang tidak dapat diterima akal sama sekali apabila menyerahkan bekalan pisang yang menyusut itu kepada lanun-lanun yang haloba. Walhal, lanun-lanun tersebut bukan mampu berbuat apa-apa sekalipun jika negeri G tidak menyerahkan bekalan pisang mereka. Rakyat G sebenarnya yang lebih memerlukan pisang.
Terkini, rakyat negeri G hanya diberi cekodok pisang sahaja. Ya, memang lebih jimat berbanding memberikan rakyat sesikat seorang. Namun, pembesar-pembesar negeri masih mendapat sesikat dan barangkali setandan pisang mentah setiap seorang. Bagus benarlah tu. Rakyat disuruh berjimat mengikat perut manakala mereka sibuk membesarkan perut. Musibat.
Namun, apakan daya, rakyat jelata negeri G hanya mampu melihat sahaja. Sememangnya Maharaja Y, Bendahara A, J, F dan N kurang (atau mungkin tidak langsung) menggunakan akal dalam mentadbir negeri G. Lebih-lebih lagi Maharaja Y yang sebenarnya tiada bakat dan rasional yang bijak dalam urusan mentadbir negeri.
Oh, hampir saya terlupa. Para pembesar negeri G semuanya pandai-pandai belaka. Tiada lain yang sebijaksana mereka dalam segenap aspek pengurusan sesebuah negeri. Itu anggapan mereka. Dan itulah juga yang mereka bongkakkan. Hebat (konon). Walhal profaniti karut dan dangkal itulah sebenarnya punca yang sedang menjahanamkan negeri G.
Semoga Tuhan memberi petunjuk kepada mereka dan melindungi rakyat negeri G sebaiknya.