Wednesday, February 24, 2010

BENGAP

Bahagian depan blok ofis aku ada porch yang fungsinya pada pemahaman architectural design aku ialah sebuah drop-off zone. BUKAN untuk meletakkan kenderaan. Nak letak kereta, letak kat parking lot yang bersepah sekeliling bangunan ni.

Tadi lepas balik lunch ada 3 bijik kereta parking situ. Satu kereta bos aku. Satu kereta company. Satu lagi kereta student yang kelihatannya baru nak keluar kereta. Pada hemat saya ketiga-tiga mereka ini mempunyai mutu kesedaran sivik yang kurang memuaskan tahapnya dalam aspek meletakkan kenderaan.

Gua jengah kepala kat tingkap sambil bagi isyarat "Apa hal kau letak kereta sini?" melalui aksi gerak kepala dan ekspresi wajah semi-garang.

"Takde, ada budak tadi... errr... takut kereta panas. Nak parking sini ke?" jawab budak tu terkebil-kebil.

"Takdelah, Malaysia memang panas. Tapi awak tak boleh letak kereta sini" gua sound.

Kucar-kacir budak tu alih kereta.

Sambil-sambil lewa nak parking kat favourite spot gua, gua tiba-tiba teringat fungsi guard yang bertugas kat situ. Dari dulu hingga kini dan tak menolak kemungkinan jugak selamanya, guard tu duduuuk je kat kaunter lobi. Apa ke jadahnya? WTH? WTF? Kejadian sebentar tadi pun gua nak kena "sibuk". Baik gua je yang jadi guard kat situ, kan? Kalau aku tuduh dia makan gaji buta nanti, mau meroyan satu kampung.


Moral:

1. Kalau kau tak bagi orang park kereta kat drop-off zone, kau sendiri janganlah park kat situ. Kan contradicting dengan rule yang kau sendiri buat?

2. Malaysia memang panas. Abis tu, kau je nak kereta kau kena redup? Sila fikir, bolehkah?

Tuesday, February 23, 2010

JAWAB



Korang pernah disuruh (baca: dipaksa) menjawab soalan yang korang tak boleh nak jawab tak? Lebih-lebih lagi kesannya kalau korang salah jawab akan memberi impak maksima yang boleh merugikan pihak majikan korang. Tapi, korang disuruh jugak jawab soalan tersebut.

Gua selalu kena. Terbaru, petang semalam. Macam gampang. Korang tau tak kalau gua salah jawab Institut gua boleh kena saman RM50k? Lagi teruk, program-program pengajian kitorang boleh dibatalkan angkara kesilapan itu. Hah! Nak mampos ke? Itu satu hal, masalahnya memang gua tak tau nak jawab soalan yang diajukan oleh pihak lawan tersebut. T-a-k t-a-h-u! Paham?

Seperti biasa, gua kenalah rujuk master jedi gua dulu. Biar dia decide. Pagi ini dia pegi mana ntah gua pun tak tau. Biarkan. Biar jadi soalan terkumpul dulu.

Friday, February 19, 2010

EDUFUND

Ruang lingkup kerja saya selain mengeluarkan surat tawaran kemasukan kepada pelajar-pelajar baru ialah menjaga hal-ehwal pinjaman pelajaran pelajar.

Tak semua budak-budak ni akan/boleh dapat pinjaman pelajaran. Sebabnya, ada pelbagai lah. Tak lalu saya nak menaip. Nanti entri blog ni boleh jadi jurnal pulak kang. Malas saya nak naik pentas terima hadial Nobel esok-esok.

Dari pengamatan saya yang mempunyai rabun jauh ini, saya dapati (kebanyakan) orang Melayu masih lagi kurang kesedaran dalam usaha menabung untuk membiayai pelajaran anak-anak. Ya, mentaliti subsidi masih menebal. Mereka masih mengharapkan dana pinjaman yang disediakan oleh kerajaan.

Ia kadangkala seolah-olah berbunyi ugutan apabila mereka berkata: Macam mana nak sambung belajar? Tak mampu bayar yuran. Anak ramai. Saya pendapatan rendah. Dan sebagainya. Dalam maksud lain: No Loan, No Learn. Jangan biar saya mulakan dengan laporan akhbar hari ini mengenai kesedaran merancang keluarga. Boleh dapat dua hadiah Nobel kalau saya tulis di sini.

Realiti hari ini, ekonomi Malaysia masih belum pulih sebenarnya. Kesannya, sebuah majlis yang diamanahkan oleh rakyat telah mencatu bilangan pemohon pinjaman pelajaran mereka. Suka atau tidak, itulah hakikat dan itulah kenyataannya. Mereka sudah ketandusan wang. Sepertimana Malaysia yang juga sebenarnya ketandusan wang.

Makanya, kebarangkalian untuk semakin ramai pelajar Melayu tidak menyambung pelajaran adalah tinggi. Ke mana hala tuju mereka jika tidak menyambung pelajaran, tiadalah saya ketahui mahupun peduli. Mereka masing-masing ada ibu bapa atau penjaga. Tanyalah pada mereka.

Pengamatan saya setelah hampir sedekad berkerja dalam bidang ini telah membuatkan saya insaf. Subsidi tidak akan ada sampai bila-bila. Masa tidak akan boleh dikembalikan.



Saya rasa menubuhkan education fund sendiri untuk zuriat saya sejak dari awal kelahiran adalah langkah terbaik yang boleh saya fikirkan. Kami tidak mahu bergantung harap kepada pinjaman pelajaran atau biasiswa yang entahkan ada entahkan tidak pada masa akan datang.

Simpan pelan-pelan. Simpan sikit-sikit. Insyaallah boleh jadi bukit.


Nota: Ini hanyalah sebuah entri jujur yang ingin saya kongsikan bersama. Tiada propaganda. Sekian, terima kasih.

Thursday, February 18, 2010

SUPER

Tak boleh! Berapa kali aku nak cakap? Tak boleh, tak boleh!

Ala... kejap je... aku pakai malam ni je. Esok aku pulang la, eh?

Lak ala... kau ni tak paham bahasa Melayu ke? Tak boleh. Memanglah aku baru beli, belum pakai lagi. Tapi, jawapan aku tetap tak boleh.

Hangin betul aku dengan member aku sorang nih. Macam tak paham bahasa. Aku cakap bengap kang mau sampai seratus tahun kemudian taknak cakap dengan aku. Masalahnya ini barang peribadi. Terlalu peribadi. Mana boleh pinjam. Kalau baldi bolehlah aku kasik pinjam.

Tolonglah weh, malam ni je. Tak sampai berapa jam pun aku pinjam. Bukan kena kulit pun... pakai kat luar je.

Tak boleh. Apasal kau tak beli je satu semalam?

Terlupa... itu pasal lah.

Aku tetap menggeleng-geleng setiap kali dia tanya soalan yang sama untuk kali yang ke 17 ratus.

Last-last dia pun fed-up dan blah sambil membebel-bebel. Itu gaya taknak kawan aku untuk seratus tahun akan datang lah tu. Kehkehkeh. Lantakkanlah. Malas aku nak layan permintaan mengarut dia.



Iyelah, cuba korang pikir, kalau dah tau nak pergi parti pakaian beragam, pilihlah pakaian yang senonoh sikit. Contohnya Jack Sparrow ke, Men In Black ke, Punisher ke, abis bengap pun Tok Mudim. Ini tidak. Ada ke nak jadi Superman? Lepas tu sibuk nak pinjam seluar dalam merah Renoma yang aku baru beli semalam. Apa barang aku nak bagi pinjam seluar dalam aku beb?
Cheh.

Wednesday, February 17, 2010

PANAS



Cuaca Malaysia sekarang sungguh panas. Lepas mandi pun mampu berpeluh tanpa sebarang usaha. Kalau gigih sikit usaha, peluh akan turun macam banjir kilat.

Kes buang bayi timbul balik dan semakin menjadi-jadi. Dahlah buang, bakar lagi. Haiwan pun lagi baiklah perangai.

Pakatan Pembangkang digambarkan oleh media arus perdana sebagai semakin caca-marba. Saya pun tak tau. Adakah ia propaganda ataupun hakikat. Jadinya, saya malas nak ambil pusing. Nasihat saya kepada YB-YB sekalian, sudah-sudahlah tu berpolitik gebang... jalankanlah tanggungjawab anda kepada rakyat. PRU-13 pun bukannya lama lagi dah.

Menteri ni baru tau ke warga asing (yang sah dan tidak sah) memang dah lama membanjiri Malaysia ni? Membimbangkan dan berbeza benar dengan angka rasmi yang dilaporkan, katanya. Memanglah! Adddoi! Kalau nak semak, semak sekali "orang-orang dalam" tu.

Dalam satu akhbar arus perdana ada rencana perihal sambutan Valentine's Day (VDay) yang membincangkan bahawa Muslim tidak wajar menyambutnya. Dalam tv arus perdana pun sibuk mengutarakan pandangan beberapa personaliti agama perihal hukum menyambut hari 14 Feb. Lucunya, sisipan hujung minggu akhbar arus perdana sama yang mengeluarkan rencana VDay tempoh hari menjadikan dua artis dengan caption: Kali pertama sambut Valentine sebagai cover sisipan mereka. Heh, saya cuma tersengih sinis. Itu belum tengok satu majalah untuk Remaja yang saya yakin tanpa was-was isu bulan Februari mereka ialah perihal hadiah, tempat nak sambut, pakaian dan lain-lain yang berkaitan VDay. Satu kali mereka mendidik dan mendakwah. Satu kali lagi mereka menggalak.

Robert Kuok masih yang terkaya di Malaysia. Saya tak terkejut pun. Orang Malaysia memang suka makan gula. Tiap kali ranking orang kaya-kaya ni keluar saya selalu tanya pada diri dan kawan-kawan, teluskah senarai itu? Rasanya ada yang lagi kaya tapi kenapa tidak tersenarai? Contohnya satu mamat (bekas menteri) yang ada rangkaian bank di Indonesia. Satu mamat yang dulu namanya "sangat top" semasa mertuanya adalah PM (sekarang dah mantan). Satu mamat CEO bank yang adik-beradik dengan PM sekarang. "Tak cukup kaya" kah mereka tu untuk disenaraikan? Aneh.

Tapi Malaysia memang akan panas sampai bulan Mac kata ramalan. Fuh, kaya tokeh aircond dan tidak lupa juga TNB hahaha...

Friday, February 12, 2010

BERAYA

"Abis, jadi ke tidak kita ni?" kata Jamal Yahya dalam nada semi-berbulu.

"Aku bukan apa, ada rasa was-was sikitlah..." jawab Razis Ismail tersekat-sekat.

"Ala korang ni... kita belasah je lah, kalau ada yang tak kena karang, kita mintaklah diri cepat-cepat blah" kata Sulaiman Abdullah cuba meyakinkan rakan-rakannya.

"Cuba korang fokus kepada matlamat kita, A-N-G-P-O-W!" sambung Sulaiman Abdullah.

Sulaiman Abdullah memang mempunyai confident level yang lebih tinggi berbanding kawan-kawannya yang dua ekor tu. Memang kacip kalau jadi ahli politik.

Sejurus selepas perbincangan itu, tiga sahabat yang berpakaian seperti menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Hari Raya Cina ini pun terus menuju ke rumah Uncle Wong. Seperti kanak-kanak riang lain, mereka ada satu niat saja untuk ke rumah Uncle Wong iaitu nak angpow. Uncle Wong pula adalah satu-satunya orang Cina yang tinggal di kawasan perumahan mereka.

"Assalamualaikum! Uncle Wong!" jerit Razis Ismail.

Pantas Sulaiman Abdullah menepuk belakang kepala Razis Ismail sambil berkata dalam nada berbisik, "Oi, mana boleh bagi salam kat orang Cina dol!"

Razis tersentak kerana baru tersedar dan terus menyambung, "Hellooo... Uncle Wong!"

Mereka bertiga sedikit terkejut tatkala Uncle Wong tiba-tiba saja sudah berada di muka pintu. Macam Breaking The Magician's Code pulak si Uncle Wong ni.

"Hah, Jamal, Rajis, Suleman... mari masuk" jemput Uncle Wong dengan penuh senyum.

Ketiga-tiga sahabat bungkam di atas sofa panjang macam monyet sakit gigi sehinggalah bini Uncle Wong keluar tersenyum-senyum sambil bawak dulang berisi kacang-kacang, kerepek-kerepek dan beberapa air kotak Ribena lalu dihidangkan kepada mereka.

"Haaa... makanlah, minumlah, jangan malu. Sama Uncle Wong jangan malu punya" pelawa Uncle Wong.

Jamal Yahya menjadi peserta pertama menyambar air kotak Ribena yang dihidang sambil matanya mengerling ke arah beberapa paket merah yang sedikit terkeluar dari dalam kocek baju Uncle Wong. Dia tersengih macam kerang busuk.

***

"Tahun depan aku nak raya rumah Uncle Wong lagilah. Best betul! Dahlah dapat minum air Ribena, pastu dapat angpow lagi" kata Razis Ismail.

"Ahhh, macam-macamlah engkau nih. Mula-mula was-was lah, wis-wis lah, wus-wus lah. Sekali dia pulak yang naik syiok" kata Sulaiman Abdullah.

"Itulah, aku ingat dia nak hidang babi panggang atau nasik itik. Cuak jugak aku hahaha..." sampuk Jamal Yahya disambut dengan gelak tawa Razis Ismail dan Sulaiman Abdullah.

Gaya mereka bergelak-ketawa sebijik macam gaya Hamid Gurkha dan Dharma Harun menang nombor ekor first prize dalam filem Sikit Punya Gila.

Sejak itu, mereka tidak pernah lupa untuk beraya di rumah Uncle Wong pada setiap hari Tahun Baru Cina. Bukan kerana mahukan angpow sangat pun. Saja suka-suka.

Thursday, February 11, 2010

SAYA BUKAN TUHAN

Satu.

Surat tawaran saya tak sampai lagi. Dah lama saya tunggu.

Siapa nama?

XXXX.

Ikut rekod, memang kita dah keluarkan surat tawaran awak. Boleh saya semak alamat?

Nombor XX jalan XX Taman XX poskod XXXXX XXXX.

Betul. Memang betul alamat yang kita hantar surat tawaran awak.

Tapi saya tak terima lagi surat tu, macam mana?

Saya pun tak tau nak jawablah sebabnya, kalau alamat salah biasanya Pos Malaysia akan return surat tu kepada kita. Masalahnya takde pulak surat awak yang patah balik kepada kita. Alamat yang kita hantar tu pun sama dengan yang kita semak tadi.
...
Ok, katalah surat awak patah balik kepada kita, kita nak pos ke mana?

Alamat rumah sayalah. Yang tadi tu.

Iye, yang kita hantar tu pun kepada alamat yang awak sebut tadi lah. Tapi tak sampai, kan? Ada alamat lain?

Takde.

Habis, kalau kita nak hantar semula, kita nak hantar ke alamat mana?

Alamat rumah sayalah. Yang tadi tu.

...


Dua.

Kau ada nombor telefon budak XXX ni tak.

Dalam sistem takde ke? Dah check?

Ada, tapi dia tak jawab telefon.

Kalau dia tak jawab, tak dapatlah aku nak tolong. Nombornya sama jugak kalau aku bagi pun.

...


Tuan-tuan dan puan-puan, saya hanya manusia biasa. Janganlah ingat saya boleh meluar-biasakan perkara-perkara yang di luar keupayaan saya. Kapten Kit pun tak boleh jawab kenapa surat yang alamatnya betul tapi tak sampai-sampai ataupun kenapa budak ni tak jawab telefon.
Hilang akal ke? Soalan SPM pun tak susah macam ni. Cheh.

Wednesday, February 10, 2010

MINUMLAH

Islam dah kata arak itu haram.

Satu.

Dalam satu keratan akhbar.

8 maut minum arak mengandungi metanol
10/02/2010 3:38am

JAKARTA 10 Feb – Seramai lapan orang terbunuh selepas meminum arak yang bercampur dengan metanol di pulau utama negara ini, Jawa, lapor polis semalam.

Major Syaiful Anwar berkata, kesemua mangsa membeli arak tersebut di kedai yang sama pada Jumaat lalu.

Buat masa ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat. Polis telah menyoal siasat kedai yang menjual minuman terbabit yang terletak di bandar Yogyakarta.

Metanol boleh digunakan sebagai bahan bakar. Tahun lalu, seramai 25 orang terbunuh dalam tempoh dua minggu selepas meminum arak buatan sendiri yang bercampur dengan metanol di pulau peranginan Bali dan Lombok, Indonesia. – AP



Dua.

Perbualan saya dengan seorang rakan bukan Muslim semasa di UTM dulu.

Kau minum beer?

Minumlah sikit-sikit, kadang-kadang. Ah, jarang sangatlah.

Sedap ke minum beer?

Hish, tak sedaplah. Bila minum, badan kau akan rasa panas tau.

Habis tu, kenapa orang minum?

Entah? Aku pun tak tau. Pada aku, baik kau minum sirap limau, lagi sedap. Lagi best. Kau nak cuba minum beer? Tak payahlah. Tak berfaedah pun.


Tiga.

Biasanya semasa melepak di kedai mamak.

Minum apa bos?

Teh O ais satu. Ais kosong satu.

Tuesday, February 9, 2010

RINGKAS & PADAT

1. Mikael dah kami tukar ke nursery baru. Sekarang dalam proses penyesuaian diri. Agak sukar kerana dia dah kenal orang. Tiap-tiap hari mesti nak menangis masa ditinggalkan. Susah hati beb!

2. Kes liwat Anwar akhirnya berjalan juga. Saya tak minat nak follow. Letih. Saya cuma nak tau keputusan muktamad je nanti.

3. PAS nak berbaik dengan UMNO (demi Islam dan Melayu). Personally, saya gembira. Apapun, godspeed.

4. Kes liwat bayi baru-baru ini memang keji. Saya harap ibu bapa kepada bayi yang tidak berdosa itu akan dijatuhkan hukuman yang paling berat sebagai pengajaran.

5. Jiran saya dah jual Harrier dia. Kenapa? Saya tanya. Tak pakai, juallah! Kata beliau apabila diajukan soalan. Bussines-minded beb, apa-apa yang boleh buat untung, kita jual! Sambungnya lagi. Dan saya bersetuju dengan beliau. Lagipun dia memang dah ada Kancil dan Myvi untuk bergerak ke mana-mana.

6. Lim Guan Eng sekarang kena belasah saja dalam akhbar arus perdana. Propaganda atau kenyataan? Fikirlah sendiri. Jangan lupa gunakan akal.

7. Zambry diputuskan sebagai MB Perak yang sah dan bukan Nizar. Heh. Macam-macam dah saya dengar pasal hal ni. Lantaklah siapapun MB, yang penting hal-ehwal kebajikan rakyat Perak jangan digadaikan. Ini pandangan saya saja.

8. Kalau nak jimat duit tol, baliklah kampung lalu highway waktu malam Raya Cina ni. Kalau taknak jam masa balik kampung kat highway, balik waktu siang dan bayar je tol tu. Pilihan di tangan anda. Bising pun tak guna sebab pondok tol tu takkan dicabut untuk entah berapa tahun lagi saya pun tak tau.

9. Kalu iye pun nak bodek kerajaan, janganlah sampai lagu Gadis Melayu pun nak tukar jadi lagu Gadis Malaysia. Aduuuhhh... Geli betul!



10. Saya ajak bos saya makan mi bandung kat Sport Complex. Ingat nak makan ringan-ringan dan biasa-biasa je lah. Sekali dia ajak makan serius kat kedai lain. Siap order sambal udang petai, kailan ikan masin, telur dadar sama chicken wings. Sekarang saya rasa seluar saya dah ketat.

Thursday, February 4, 2010

ENCIK LEMBU


Korang pernah nampak lembu dapat surat dalam envelope?
Aku pernah. Gambar kat atas tu buktinya.
Haaa... jangan main-main.

Wednesday, February 3, 2010

RUANG

Ruang kecil boleh nampak lebih sempit jika berwarna gelap.
Ruang kecil boleh nampak lebih luas jika berwarna terang.

Ruang kusam boleh nampak lebih bosan jika berwarna pudar.
Ruang kusam boleh nampak lebih ceria jika berwarna ceria.

Ruang kosong boleh nampak lebih kosong jika objek tumpunya kecil.
Ruang kosong boleh nampak lebih penuh jika objek tumpunya besar.

Ini asas berkenaan ruang yang paling asas yang saya tau.
Dari asas inilah rasanya sesuatu ruang itu patut dicorakkan.

Betul ke?

Monday, February 1, 2010

MAKAN SEGAR

Aku cukup gemar sandwich Subway. Jangan tanya kenapa tapi aku memang cukup gemar.

Bila aku tau Subway bukak satu outlet kat Jusco AU2, akulah antara orang yang paling gembira di daerah Ampang Jaya ketika itu. Anytime aku boleh pekena Subway nampaknya.



Minggu lepas aku balik Keramat macam selalu-selalu. Tapi terus ke Jusco AU2 sebab nak pekena Subway dulu. Dah lama jugak tak pekena. Kebetulan kitorang ada kupon yang dapat free dengan kalendar Subway 2010. Promotion bulan Januari pada kupon berbunyi lebih kurang begini dalam Bahasa Melayu: Free satu 6" sandwich bersama sebarang sandwich yang dibeli. Nilai sandwich free mesti sama atau kurang.

Di kaunter, aku tunjuk kupon, minah no.1 explain, aku paham. Sebenarnya dia takyah explain pun aku dah memang paham. Tapi takpe, aku pilih sandwich aku, Spicy Italian. Logik maknanya: Aku memilih Spicy Italian untuk kedua-dua sandwich yang aku beli dan yang free, kan? Unless aku mention aku nak sandwich lain (dari kategori yang dibenarkan).

Tiba-tiba dia masuk panggil supervisor dia. Sekali lagi, aku tunjuk kupon, minah no.2 pulak explain dan dia ingat aku tak paham.

Saya nak pakai kupon ni, dengan Subway meal.

Iye, tapi untuk guna kupon ni, encik kena pilih sandwich yang mana.

Spicy Italian. Kan saya dah cakap tadi?

Oh, mintak maaf. Muka haram tak ikhlas.

No.1: Aku ke dia yang tak paham terms dalam kupon tu?
No.2: Janganlah nak eksyen kalau cakap English pun tak betul.
No.3: Ingat aku baru first time nak makan kat Subway ke?
No.4: Kalau tak suka kerja line F&B, jangan kerjalah.
No.5: Dia tak tau ke aku boleh lodge complain yang boleh menjahanamkan dia?

Ini teori saya berkaitan mutu perkhidmatan di Malaysia:
Orang Melayu memang suka nak eksyen tak tentu hala. Lebih-lebih lagi bila dia kerja kat tempat yang fancy atau classy sikit. Dia mulalah ingat dia yang paling best dan customer dia semuanya bengap/takde duit. Pada dia, dia hanya layak layan orang puteh atau orang-orang yang kaya saja. Dah banyak kali berlaku depan mata aku dah. Di Cold Storage Great Eastern misalnya, bukan main thank you sir, please come again sir, sorry for the delay sir kat satu omputeh ni masa membayar. Time kita, senyum takde, terima kasih pun takde. Apa benda tu?

Oh ya, ini nasihat saya kepada minah Subway yang buat gampang dengan saya hari Sabtu lepas di Jusco AU2: Never underestimate your customers. They could either lift your business up or pull it down. So treat them nicely.