Wednesday, March 31, 2010

REPORT

Kebelakangan ini kerap benar (baca: hampir setiap hari) saya terbaca, tertonton dan terdengar perihal orang buat laporan polis di media massa.

Kalau melapor kes-kes jenayah itu pada saya adalah biasa. Iyelah, takkan nak report sama Syabas atau TNB kalau ada kes ragut, kan?

Tapi yang saya tak berapa faham ialah apabila orang politik buat laporan polis tentang hal berkaitan isu politik. Apa nih? Lepas tu keluar gambar dalam suratkhabar, ramai-ramai pegang laporan polis yang dicetak.
Hehehe, kelakar.

Saya tak taulah tindakan mereka membuat laporan itu betul atau tidak. Rasanya betullah, sebab polis pun terima je laporan mereka. Apa tindakan pihak polis selanjutnya daripada laporan itu tiadalah saya mengetahuinya.

Tapi saya melihat ini sebagai satu trend sebenarnya. Komtemporari je nih. Nanti dulu, ada yang lebih lucu. Dari satu sisi, kumpulan si polan ini mempertikaikan integriti pihak polis. Tapi anehnya, mereka juga ada membuat laporan polis berkaitan isu politik.
Hehehe, kelakar kan?

Apa komen anda tentang isu ini?

Saya rasa lucu, mual, menyampah dan lucu. Ye, lucu dua kali.

Sunday, March 28, 2010

SEBELAH

Gun nak terkencing. Tanpa lengah gua terus meluru masuk jamban. Sebelah, mak gua tengah mandi-manda. Tiba-tiba mak gua bersuara,

Siapa tu?

Rasaksa!!! Hahahaha!!!

Helleh...

Tiba-tiba gua terkentut.

Lepas tu ada satu lagi bunyi kentut.

Mak gua rupanya. Cheh.


Nota: Ini entry merepek di hujung minggu berdasarkan kisah benar.

Wednesday, March 24, 2010

KEPOMPONGPONG



Wahai Kelicap Lalu, beta mahu kamu maklumkan pada sekalian jelata bahawa beta sedang mencari hulubalang yang baru. Maklumkan mereka agar lekas-lekas menghadap beta untuk beta pilih sendiri.

Ampun tuanku. Bolehkah patik tahu kiranya tuanku sudah ada calon hulubalang yang bermain-main di fikiran tuanku?

Oh, itu jangan kamu khuatir. Biarlah beta saja yang uruskan. Lekas, laksanakan saja titah beta.

Ampun tuanku. Titah tuanku patik junjung.

***

Maka berbondong-bondonglah rakyat jelata membawa harap menghadap Sultan Kepompongpong agar terpilih menjadi hulubalang baginda.

Semuanya layak. Semuanya cukup haul. Semuanya ada kelebihan. Namun, semuanya tiada mengetahui bahawa kehadiran mereka hanyalah sebagai pemain wayang tambahan semata. Antara semua itu, hanya satu sahaja sebenarnya yang telahpun terpilih dalam senyap.

Kelicap Lalu sudah amat arif akan helah Sultan Kepompongpong itu. Namun apakan daya? Titah sultan harus dijunjung, begitu janjinya. Resam Melayu, sepatutnya, janji harus dikota. Jika janji tidak dikota, itu bukan Melayu.

Kelicap Lalu juga tahu Sultan Kepompongpong sudahpun ada calon hulubalang yang dikehendakinya. Perkhabaran kepada jelata tentang pencarian hulubalang baru itu hanyalah wayang semata kerana baginda sebenarnya tidak mahu dicerca sebagai tidak saksama. Itu saja tujuannya.

Tidak mengapa, bukan rezeki. Begitu kata para jelata yang gagal dipilih menjadi hulubalang. Mereka sebenarnya tiada mengetahui sekelumit pun helah Sultan Kepompongpong. Manakan boleh mereka menuduh Sultan Kepompongpong sebagai tidak saksama? Walaupun itulah kebenarannya.

Semutar Hitam yang melihat dari jauh permainan muslihat licik Sultan Kepompongpong itu hanya menggeleng-gelengkan kepala tanda kesal. Tiada lain diharapkan hanya pemikiran yang waras dan tajam sahaja dari sultannya.

Dirgahahayu Kepompongpong, sindir hati kecil Semutar Hitam.

Tuesday, March 23, 2010

PANTAS & TUNTAS

Saya baru dapat borang BE minggu lepas. Jangan tanya mende maksud BE tu. Saya haram tak tau. Sila tanya pada orang LHDN.

Acara membayar cukai sememangnya bukan acara kegemaran rakyat Malaysia (dan mungkin juga rakyat negara lain). Tapi, ia tetap perlu dilakukan juga demi pembangunan negara. Sebelum bayar, kena taksir dulu. Barulah tau kena bayar atau tidak cukai pendapatan. Kalau tak buat taksiran macam mana nak tau, kan? Ini arithmetic mudah je nih.

LHDN menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan e-Filing untuk penaksiran cukai. Pada saya ia adalah satu sistem penaksiran cukai yang bagus. Ia mudah, pantas dan tuntas bak kata Dr. Fazley semasa mempromosi kamus elektronik Besta. Anda cuma perlu ada borang BE dan komputer berinternet. Selebihnya, buatlah sendiri. Takkan saya nak buatkan untuk anda?

Namun perlu diingatkan, jangan lupa password untuk login. Kalau lupa jugak jangan nangis, sila telefon helpline LHDN untuk diorang resetkan password anda. Nombor helpline LHDN? Cariklah sendiri, saya tak ingat. Semua nak orang suap, patutlah obes. Cheh.

Oh ya, entri ini hanya bertujuan mengingatkan anda supaya lekas-lekas menaksirkan cukai pendapatan anda. Tak payahlah tunggu last-last minute tang corner baru nak sibuk. Lepas tu merungut tak tentu pasal. Marah LHDN lah, marah Najib lah, marah 1Malaysia lah, marah semut hurung serdak biskut kat lantai lah.

Makanya, selamat menaksir dan membayar cukai saya ucapkan.


Nota: LHDN hutang saya rm92. Sila bayar segera.

Friday, March 19, 2010

KELKATU


Kapten kelkatu.

Sana ada cahaya.
Sana.
Sana.
Ayuh kawan-kawan, kita ke sana sekarang.

Eh, sini pun ada cahaya.
Sini.
Sini.
Ayuh kawan-kawan, kita ke sini pula sekarang.

Kita nak ke mana sebenarnya, kapten?
Kapten tau ke tak tau ni?

Tuesday, March 16, 2010

SERANGGA

Kebelakangan ni gua rasa rumah gua dah macam port serangga lepak pulak.

Semut toksah cakaplah. Memang sibuk nak buat setinggan kat rumah gua. Puas gua letak racun sana-sini, tak berapa nak jalan. Gua syak semut ni dah terkena mutasi agaknya.

Itu ari ada ulat gonggok dalam 3-4 ekor merayap dalam rumah. Entah dari mana muncul gua pun tak tau. Tak alih-alih ada sekor kat tengah rumah. Lepas tu sekor kat dapur. Lepas tu sekor dalam bilik. Lepas tu sekor kat tong sampah. Oleh sebab gua dah puas tengok Discovery Channel, maka gua buang selamba je lah ulat gonggoks tu.

Lepas tu labah-labah. Puas jugak gua suruh dia gigit gua supaya gua boleh jadi Spider-Man tapi dia menolak dengan penuh berhemah. Anak gua bukan main suka tengok labah-labah tu, siap nak tangkap. Hish. Lekas-lekas gua buang ke luar.

Malam tadi lagi best. Lipas. Bini gua tiba-tiba kucar-kacir panggil gua yang tengah syok isap rokok kat luar. Ada lipas besar! katanya. Gua bayangkan lipas sebesar mouse komputer, rupa-rupanya saiz biasa-biasa je. Yang lebih mencemaskan ialah lipas tu sibuk nak terbang bila aku sembur Shieldtox. Mungkin inilah yang dikatakan "you make me fly so high" gamaknya. Walau bagaimanapun, beliau selamat gua kebumikan dalam tong sampah berkapankan suratkhabar lama.

Lebih thrilling malam tadi, ada satu belalang pulak sudah masuk rumah gua. Gua memang tak pernah terpikir langsung belalang nak masuk rumah. Bila masa pulak gua tanam rumput dalam rumah? Dia ni pun satu hal. Jenis suka lompat sambil terbang. Puas gua kejar sampai lost contact dengan dia malam tadi. Tiba-tiba pagi tadi gua nampak dia tengah parking baik punya kat dinding tangga. Gua syak dia dah lapar tu. Gua pun perambat la pakai tuala. Selain bertujuan menangkap belalang, ia juga merupakan senaman pagi.



Last-last dapat jugak gua cekup. Kalau ikut karut Fear Factor, mau gua kunyah je belalang tu hidup-hidup tapi, nasib baik gua teringatkan Twisties yang gua beli kat pasaraya Giant semalam. Apa barang makan belalang? Baik makan Twisties, kan? Namun, gua akhirnya mengambil keputusan melepaskan saja belalang tersebut ke kawasan flora di belakang rumah. Makanlah daun serai dan daun pandan tu wahai belalang. Makanlah sampai kau kenyang.

Sekian saja cerita serangga saya.

Monday, March 15, 2010

SELAMAT DATANG HUJAN

Beberapa bulan lalu ramai antara kita yang merungut perihal cuaca yang sangat panas. Panas juga sering menjadi topik perbualan hampir di mana-mana tempat daripada pejabat, kedai kopi, kedai mamak, rumah emak kita, hatta di pasaraya Giant sekalipun ada orang berbicara tentang cuaca yang panas. Sampai begitu sekali penangannya panas di dunia.

Tapi, menurut ramalan kaji cuaca yang saya baca dulu mengatakan bulan Mac akan mulai hujan. Dalam erti kata lain, tidaklah sepanas sebelum ini. Ia adalah putaran cuaca yang biasa bagi bumi. Cuma, mungkin sebelum-sebelum ini kita tak perasan sangat sebab ia tidak sepanas sekarang. Ozon dah nipis katanya. Isu pemanasan global juga tidak kurang hebatnya.

Apapun, saya amat bersyukur kerana hujan sudah mulai turun. Semalam saja saya rasa adalah 3-4 kali hujan turun di kawasan rumah saya. Taklah terasa panas berbahang sangat rumah tu. Inilah kehebatan dan kekuasaan tuhan.

Selain itu, siaran Astro juga kerap menjadi gelita kerana kehadiran hujan. Services currently not available. Begitu katanya di skrin tv. Takpelah, siaran kat Astro tu pun selalu diulang-ulang. Tengoklah waktu lain, kan?

Pokok-pokok bunga juga tak perlu nak disiram-siram. Air hujan sedia ada pun dah mencukupi untuk melancarkan proses fotosintesis mereka rasanya. Kalau terlebih air nanti lain pulak jadinya.

Maka dengan itu, suka saya nak ucapkan selamat datang kepada hujan.

Wednesday, March 10, 2010

PERSONAL

Ada sesetengah orang tidak tahu atau buat-buat tak tau membezakan antara hal personal dan hal pejabat. Pada saya ia adalah perbezaan yang teramat jelas dan tidak perlu disuluh-suluh lagi. Hal personal/peribadi adalah hak mutlak kita manakala hal pejabat adalah tertakluk kepada penyelia dan majikan kita.

Namun, ada juga manusia bengap yang beranggapan kedua-dua perkara ini adalah sama. Jika dia adalah penyelia/majikan kita, maka dia juga "berkuasa" ke atas hal personal kita. Dia ingat dia siapa? Besar sangat ke? Ingin ditegaskan di sini: They do not own our life outside the working environment. Maksudnya, apa jua hal personal yang kita buat di luar adalah urusan kita dan mereka tiada hak untuk masuk campur atau menghukum kita berdasarkan title penyelia atau majikan kita.

Adalah menjadi trend sekarang untuk meluahkan perasaan melalui saluran-saluran aplikasi di world wide web seperti blog, facebook, twitter, email dan lain-lain. Ini adalah hak kita. Suka hati kitalah nak buat apapun dengan akaun blogspot atau facebook kita, kan? Tapi, kenalah ada etika. Dan, suka ataupun tidak, aktiviti kutuk-mengutuk, boikot-memboikot melalui saluran-saluran medium tersebut adalah trend yang tidak mungkin dapat dihalang.

Namun, mengapa perlu susah hati jika:
1. Kita ignore friend request dari orang yang kita tak suka?
2. Kita enjoy mengutuk majikan kita (yang memang supergampang) dalam facebook?
Ia adalah hak kita. Mereka yang di"ignore" atau dikutuk pula tak sepatutnya menyalahkan kita jika mereka sendiri tidak mahu mencerminkan diri mereka. Silalah bertanya kepada diri sendirinya: Kenapa dia tak accept request aku, ha? Kenapa diorang kutuk aku gila babi, ha? Kenapa, ha? Kenapa?

Berbulu kena kutuk sampai tak lena tidur selama dua malam? Hek eleh, yang kau buat orang tak lena tidur malam sepanjang zaman sebab hal kerja kau tak pernah fikir?

Hal bodek-membodek penyelia/majikan sehingga menyebabkan rakan sekerja disiasat juga saya kira sesuatu yang sungguh keji. Keji yang tiada bandingan.

Pesanan saya, silalah berfikir dengan mendalamnya. Adddoi.

Monday, March 8, 2010

MALAM TADI



Saya bukan tak minat kumpulan Search. Minat. Lebih-lebih lagi lagu ballad mereka. Contohnya lagu Gadisku, Gadis Misteri, Nigina, Bisa, Fantasia Bulan Madu dan ahhh... banyak lagilah. Lagu-lagu rock kental mereka pun saya minat juga. Tapi fokus entri kali ini ialah lagu ballad mereka.

Kalau terdengar mana-mana lagu ballad Search saya secara automatik akan mengikut nyanyian Amy dalam skala bunyi yang perlahan sebab itu saja kemampuan vokal saya (dan anda juga); walaupun saya tak pernah menghafal lirik lagu mereka secara formal.

Tapi kalau dah tengah-tengah malam buta pukul 12 tengah malam kau pasang lagu Gadis Misteri tu kuat-kuat, saya yang mengantuk nak tidur ni pun cenderung jadi marah serta-merta.

Tidak... saya tak marahkan Search, saya marahkan orang yang pasang lagu tu kuat-kuat malam tadi. Tak taulah kalau Amy sendiri yang karaoke, sebab rasanya dia duduk Bandar Seri Putra jugak.

Friday, March 5, 2010

IRONIC



Hari Jumaat adalah hari berpakaian kasual untuk ofis saya. Saya biasa pakai t-shirt berkolar je hari Jumaat. Tapi hari ini juga saya ada meeting. Saya berbelah bagi sama ada nak pakai t-shirt berkolar ataupun kemeja lengan pendek. Oleh kerana saya genius, saya pun mengambil keputusan untuk memakai t-shirt berkolar warna oren yang dah lama saya tak pakai dan akan cover dengan jaket hitam masa nak masuk meeting nanti.

***

Balik dari solat Jumaat, ada sebuah Myvi SE kaler oren melintas. Mazlan pantas menegur, "Bro, kereta lu dah sampai". Hish, gua punya kaler silver la beb.

***

Iman, rakan sepejabat saya mintak saya senarai nama pelajar semester 1 untuk check attendance untuk briefing petang ni. Selepas siap, saya pun bagi dia. Sempat juga saya mengepow gula-gula perasa oren atas mejanya. Pilihlah, ada perasa oren dengan strawberi, kata Iman. Orang tua pilih oren, orang muda pilih strawberi. Chis, tak sempat nak tukar yang perasa strawberi sebab saya dah masukkan dalam mulut gula-gula yang perasa oren tu.

***

Ada missed call. Dari Baharin kawan saya yang salesman Perodua tu. Saya talipon dia balik, "Bro, Perodua hantar kaler oren lah... Kalau kau nak silver jugak kena tunggu lagi seminggu". Saya pun terus tanya Shidah untuk mendapatkan pandangannya.
Ini komen beliau: Dah memang ditakdirkan u akan pakai Myvi SE kaler oren lah tu. Hah, sukalah tu.
Heheheh... saya hanya tersengih macam kerang busuk dalam telefon.

Sebenarnya, saya memang nak yang kaler oren tapi Shidah tak berkenaan. Ranggi sangatlah. Muda sangatlah. Macam Unggal Choice pun ada jugak katanya. Makanya, saya pun bilang sama Baharin saya mau kaler silver.

Baharin menyokong saya dalam hal-ehwal warna oren ni, begitu juga dengan Raddy. Tapi bini Baharin pun macam bini saya, tak berkenan kaler oren. Macam Unggal Choice katanya. Selepas kejadian Perodua hanya hantar Myvi SE kaler oren tadi, kami berdua hanya bergelak ketawa dalam telefon hahaha.

Tidak, saya tidak berkomplot pun dengan Baharin tentang ini. Sumpah.

Thursday, March 4, 2010

KISAH YALAL

Yalal memang tak boleh diharap. Satu sen pun tak guna. Buat kerja ikut suka hati dia. Nak dikata bengap, belajar tinggi. Sampai obersi katanya. Tapi tahap bengapnya mengalahkan orang tak ke sekolah.

Begitulah lumrah cacian yang lazim dilemparkan kepada Yalal oleh orang sekeliling. Namun Yalal tak pernah ambil pusing pun tentang perkara itu. Hairan juga. Dia masih kekal dengan status bengap abadi yang disandangnya semenjak entah berapa tahun yang lalu. Tapi dulu dia taklah sebengap sekarang. Sekarang lagi teruk. Kronik.

Pun begitu, Yalal ini sebenarnya bukanlah bengap seperti yang disangka ramai. Dia sengaja pura-pura bengap. Begitu kata seorang kenalan rapatnya, Jidin. Dan ia disokong pula oleh Nigina. Tapi, ramai pula yang mengatakan ketiga-tiga mereka sebenarnya memang mengalami masalah bengap abadi. Sebab itu mereka saling menyokong antara satu sama lain.

Yalal tau, orang lain tak akan boleh berbuat apa-apa dengan kebengapannya itu. Sebab itu dia mampu mempamerkan muka yang paling sardin berbanding ikan sardin itu sendiri. Memang hebat sang Yalal ni.

Sehingga ke hari ini, orang sekeliling Yalal hanya mampu mengutuk, mengata, mencaci dan memaki beliau tanpa belas kasihan dibelakangnya saja. Sebabnya, semua permasalahan yang timbul hari ini kalau dikaji secara holistik adalah angkara kebengapan Yalal sendiri. Kebengapan Jidin dan Nigina juga sedikit sebanyak ada menyumbang kepada permasalahan itu sendiri.

Maka atas dasar itu, tiada lain yang dapat diucapkan kepada Yalal dan kawan-kawan bengapnya melainkan selamat maju jaya.

Wednesday, March 3, 2010

KOD RAHSIA


Jawapannya ya, sedang dalam proses. Gua trade-in kereta hitam gua untuk mendapatkan lebih kadar aliran tunai bulanan. Ini adalah persediaan gua untuk survival di hari muka.

Jangan berharap dunia sekeliling anda yang akan berubah (Don't ever wait for the world to change). And yes, I think this is the best decision for me.

Monday, March 1, 2010

MACAM-MACAM

Dulu ada Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sekarang nak diperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB) pula. Ada antara kita yang menentang DEB atas dasar yang pelbagai. Ada juga yang kata DEB sudah tidak relevan hari ini. Manusia (bukan Melayu saja) memang begitu sifatnya. Mudah lupa. Buta sejarah.

Saya tidaklah arif mengenai DEB tapi saya tahu bahawa DEB telah membantu membangunkan ekonomi negara kita. Apa yang saya harapkan dari MEB yang bakal diperkenalkan? Entah. Jujurnya, saya pun tak tahu.

Kita kadangkala (tapi selalunya) tersepit kerana dilema "hak keistimewaan". Kenapa dilema? Tanyalah kepada mereka yang lantang memperjuangkannya. "Hak keistimewaan" itu memenangkan "siapa" sebenarnya? Tidak, saya bukan racist. Saya cuma ingin membuat (reality) check and balance saja.

Pada hemat saya,
Mentaliti subsidi mesti dihapuskan.
Pendidikan adalah tonggak kemajuan negara dan bangsa.
Kemudahan asas (air, api, tempat tinggal) tidak sepatutnya menjadi isu lagi (seperti dalam rancangan Bersamamu, TV3).
Pusat-pusat kesihatan (kerajaan/swasta) seharusnya lebih mengutamakan kesihatan rakyat dan bukan status kewangan rakyat.
Perpaduan lebih mudah dicapai melalui kesaksamaan.
Menghormati antara satu sama lain adalah asas keharmonian.

Memang kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Singapura atau Indonesia. Tidak mahu menjadi apa? Menjadi lebih maju? Heh, ada orang yang marah dengan entri ni nanti. Untuk realiti, lihatlah pencapaian mereka. Agnes Monica juga bertutur dalam Bahasa Indonesia walaupun beliau berbangsa Cina. Singapura ada Universal Studios walaupun hakikatnya mereka tak cukup tanah untuk menampung rakyat mereka.

Bila pekerja asing berlambak kat Malaysia, semua orang bising. Cuba kita semak balik, pekerja-pekerja asing ni banyaknya berkerja di sektor mana? Kerja kilang, cleaner, buruh binaan, security, angkat sampah, pembantu rumah, gerai makan dan lain-lain. Tapi kita sikit pun tak hairan bila orang puteh sendiri berkerja sebagai pemungut sampah, buruh binaan, cleaner dan lain-lain di negara mereka sendiri, kan? Eleh, cakap je lah iye sebab memang iye pun. Lebih bengap, ada yang kata: Masa aku belajar kat UK dulu, orang puteh yang kutip sampah kat rumah aku (dalam nada bangga).



Lepas tu sibuk isu lambakan graduan melebihi keperluan pasaran. Lepas tu esok, kadar pengangguran meningkat. Lepas tu esok, isu ketiadaan peluang pekerjaan. Dalam masa yang sama kolej swasta (bawah pokok) semakin bertambah. Bilangan pekerja asing juga bertambah. Anehnya, banyak pulak peluang pekerjaan untuk pekerja asing ni ye? Hehehe.

Iyelah, kita akan kata: Hey, takkan lulusan kolej/universiti nak kerja kilang atau buruh binaan atau pembantu rumah dan sebagainya? Saya juga pernah bertanya soalan yang sama. Dan saya dah tau jawapannya. Ia terletak pada model pendidikan negara kita. Jelasnya, model pendidikan kita terlalu akademik. Sebab itu semua graduan kita sibuk nak jadi orang besar pakai tali leher yang kerja dalam aircond lepas tamat pengajian. Sila fikir dulu sebelum anda nak melenting dengan kenyataan saya (kalau ada yang bacalah pun).

Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha memajukan diri tanpa mengira latar belakang mahupun asal-usul kerana saya percaya kesedaran memajukan diri yang terbit dari dalam diri kita sendiri adalah lebih baik dari mengharapkan dasar-dasar baru yang belum tentu.

Mereka yang tidak mahu maju adalah mereka yang takut. Anda terpaksa setuju dengan kenyataan ini kerana ia sememangnya benar, bukan?