Monday, December 28, 2009

DOUBLE DECKER

Saya suka jajan perasa udang jenama Double Decker.
Saya tidak pula suka kemalangan yang membabitkan bas ekspres double decker (mahupun yang biasa).



Pemandu bas ini mengaku yang dia mengantuk sehingga menyebabkan nahas.
Syarikat bas ini berjanji akan meningkatkan mutu keselamatan perkhidmatan mereka (wtf?)
10 nyawa hilang memang sudah tertulis dalam qada' dan qadar. Itu kerja tuhan. Dia tau apa yang terbaik untuk hamba-Nya.
Apa pula nasib waris-waris yang kehilangan tempat bergantung akibat nahas ini?

Pendapat bapa mertua saya:
Bas dua tingkat ni patut dalam town je. Jangan bagi masuk highway. Dia tinggi. Bila laju dia tak stabil. Bahaya. Patutnya biar bas setingkat je masuk highway.

Saya bersetuju dengan pendapat beliau.

Pendapat saya:
1. London punya double-decker memang jalan dalam town saja.
2. Bas ekspres Malaysia memang laju-laju belaka atas highway. Saya yang dah memandu selaju 110km/h pun dipotongnya. Bukan dipotong saja, malah dicicirkan jauh. Confirm bas tu lebih laju dari 110km/h.
3. Bas ekspres Suasana Edaran antara bas yang mengamalkan gaya pemanduan macam setan tahap kelajuannya. Saya selalu saing mereka time pegi-balik keje sebab tu saya berani tulis sini.

Nyawa bukan taruhan brader. Ia adalah tanggungjawab.
Pikir sikit.


Nota: Takziah kepada keluarga mangsa nahas.

Thursday, December 24, 2009

GAMBAR & CAPTION

Happy holiday!
Drive safely...

Don't forget to buckle-up!

Tuesday, December 22, 2009

SERVIS


Minggu lepas aku pergi servis kereta. Biasalah Malaysia, dah overdue baru nak menggelabah. Nasib baik aku orang Sepanyol. Tak percaya tanya Eva Mendez.

Tempat aku selalu servis kereta ni aku perhatikan, gemar buat improvement untuk meningkatkan mutu khidmat pelanggan mereka (sila baca dengan gaya Hasbullah Awang). Bagus. Aku berani cakap sebab aku memang hantar servis kereta kat situ dari mula aku pakai kereta yang aku pakai sekarang.

Daripada hanya tv, dia tambah suratkhabar, dia tambah majalah, dia tambah queue number system, dia tambah free drinks dari vending machine dan kerusi baru yang lebih selesa. Terkini minggu lepas, dah ada mi segera dalam cawan dan biskut. Pergh! Ini sudah cukup baik.

Mula-mula segan juga. Tengok satu mamat ni selambakodok je, aku pun tanpa lengah terus tadah air panas dalam cup noodle dan pow nescafe satu kali. Dah best sangatlah tu. Tersengih-sengih macam labi-labi aku bawak makanan dan minuman aku keluar. Kalau Sam Raimi nampak aku masa tu, mesti dia ajak aku berlakon jadi Peter Parker dalam Spider-Man 4.

Tengah aku menunggu cup noodle aku kembang, amoi pusat servis tu sudah talipon.
"En. Fairudz aah? Ada mana?"
"Saya kat luar ni, kenapa?"
"Kereta you sudah siap"

Di dalam.
"Aiya moi, cepatnya. Saya baru mau makan"
"Takpe, you settle ini dulu (payment) lepas tu boleh sambung makan"

Memang "layan" makan mi segera dalam cawan perisa udang pagi-pagi kat pusat servis. Apatah lagi jika ianya free-flow. Akan datang aku nak saran diorang hidangkan pizza pulak. Lepas tu cendol. Lepas tu ABC. Lepas tu steamboat. Fih, mesti lagi syok.
Korang rasa pusat servis tu terima tak cadangan hebat aku?

Monday, December 21, 2009

SMART

SMART bermaksud bijak.
SMART TAG bermaksud tag yang bijak.
Pengguna SMART TAG bermaksud pengguna tag yang bijak.

Ini penaakulan mantik yang mudah, bukan?

***

Pagi tadi. Di Plaza Tol Bangi. Nak masuk Bangi.

Kereta depan sekali tersangkut di booth SMART TAG.
Kita panggil saja ia Kereta Bengap 1.
Tiada kredit kata skrin LCD tol itu.
Aku yang beratur di tempat ketiga nampak.
Kereta Bengap 1 berundur dan kautim dengan penjaga booth untuk top-up kreditnya.
Palang diangkat. Settle.

Kereta depan aku tersangkut di booth SMART TAG.
Kita panggil saja ia Kereta Bengap 2.
Tiada SMART TAG kata skrin LCD tol itu.
Aku yang beratur di belakangnya nampak. Jelas.
Kereta Bengap 2 berundur dan penjaga booth menunjukkan cara menggunakan SMART TAG dengan betul.
Ya encik, panel infrared harus menghadap ke depan dan kad Touch N Go menghadap pemandu untuk membolehkan SMART TAG berfungsi.
Palang diangkat. Settle.

Giliran aku tiba.
Tit-tit bunyi SMART TAG.
Palang diangkat. Settle.

Apa yang susah sangat?

Sila rujuk penaakulan mantik pada perenggan awal entri ini.
Pada yang berkaitan, sila muhasabah diri. Jangan menyusahkan orang lain.

Thursday, December 17, 2009

MITOS

Huiii... sakittt... diorang pakai kapak aku dengar.
Tengoklah kau punya liat ke tidak.
Ada jugak yang kena pakai gergaji.
Itu belum kalau kes buta lagi.
Kau punya buta ke tidak?

***

Mana ada sakit? Macam kena gigit semut je.
Semut apa? Semut hitam ke semut api?
Semut api la...
Sakit jugaklah kalau macam kena gigit dengan semut api.
Kena gigit kerengga lagi sakit.
Kerengga ke semut api?
Lebih kuranglah tu...

***

Mula-mula kau duduk atas batang pisang.
Lepas tu dia asah pisau.
Lepas tu dia tarik kulup kau... zup!
Berdarah-darah, balut.

***

Satu pagi, di sebuah klinik di Bandar Tun Razak, Cheras.

Mohd Fairudz Hamdan! Jerit nurse.
Aku bingkas ke bilik air untuk salin kain pelikat.
Cilakak, macam mana aku boleh jadi peserta pertama nih? Bukan tadi kata aku nombor 2 ke?
Berdebar jugak jantung aku masa tu. Aku syak budak yang sepatutnya yang pertama tadi takut datang awal, tak pun dah lari dari rumah.

Tak sampai berapa minit, acara pun selesai.

Aku keluar dari bilik rawatan dalam keadaan terkengkang-kengkang. Kat luar, dah ramai budak-budak menunggu. Semua berkerumun tengok aku. Bapak diorang dah tersenyum-senyum.
Sakit tak? Sakit tak? Semua tanya soalan yang sama.
Aku tersengih sambil berkata: Sakittt... hahaha...

Budak-budak yang bertanya tadi jadi pucat.

Mohd Firdaouz Hamdan! Jerit nurse.
Hah, giliran adik aku pulak.

Tapi, hairan juga bila aku tengok takde pulak kapak, pisau, gergaji atau batang pisang kat dalam bilik rawatan tu tadi.

Tuesday, December 15, 2009

LEARN

I've always believed in learning through mistakes. It's the best way of learning and doing things right the next time you're doing it. Well, at least to me.

Here are some from my personal experience.


Photo of Oriente Station Lisboa roof borrowed from Wikipedia.

Choosing Computer Science over Architecture for my Bachelor's Degree is somehow my most regretted decision, in life. It still haunts me on how different my carreer and life would be if I chose the latter option. But later I realized that my computer skills are quite "useful" for my carreer today. I also made some fortune out of it.

Wanting the best of everything for our child is what most parents want. Wanna bet? But sometimes, the best to us is not necessarily the best for our child. In fact, Mikael is not that choosy over his toys. He'd rather push my mom's little rattan chair than his Playskool walker I bought.

I'll never go wrong if I go basic. Be it with clothes, footwear, food, working methods or even a split-second decision. I used to love massive printed t-shirts in my wardrobe because I thought I'd look cool in it. But it just didn't work for my personality actually. So now, I'm going as plain as possible. Top to toe. Inside-out.

Never mouth-fight any idiots. It's just a waste of time. I once can't stand people who just love to hurt my feelings through their stinky mouth. I've always responded with loud and sharp words that'll make them turn red. Yes it was worth it. But just for that very moment. I end up losing friends through that behaviour. But now I just don't give a damn to such idiots. I'd rather walk away or smile cynically.

You'll only find a few good friends in your lifetime. And that is so true. My friends who call themselves as my friends sometimes doesn't act like friends. Friends doesn't turn their friends down. And that's a deep one from me, sincerely. Honestly, now I no longer care because I myself is already a hip person. Hahaha.

Alright now, that's enough of me for today.

Thursday, December 10, 2009

SWING

Jonah Lomu dan Ronaldinho adalah dua sahabat karib. Mereka sangat karib sehingga segala benda nak sama. Ini termasuklah minuman kegemaran, makanan kegemaran, warna kegemaran dan lain-lain.

Baru-baru ini, mereka sedang berkira-kira nak memulakan hobi sukan yang baru. Sebelum ni hobi sukan mereka hanyalah berenang gaya bebas di atas katil dalam keadaan mata tertutup setiap hujung minggu. Selain itu, mereka juga gemar mengumpul setem dan mengorek hidung.

Jon, kau rasa sukan apa yang bagus untuk orang macam kita nih?

Entahlah Ron. Aku tak suka sukan yang letih-letih nih. Penat.

Kalau badminton?

Malaslah Ron. Nanti aku dapat Datuk pulak. Mentang-mentanglah aku terel.

Kalau american football?

Nanti kena tuduh ambik steroid pulak.

Kalau squash?

Yang ini aku surrender. Bagi Nicol je lah pegang.

Kalau golf?

...

Jap, aku call Tiger Woods jap. Tanya khabar.

Wednesday, December 9, 2009

ETIKA

Ini antara hal-hal yang kerapkala menyakitkan hati dan tidak menunjukkan rasa hormat kepada orang lain.

1. Panggilan (telefon) urusan kerja selepas waktu berkerja tamat atau waktu cuti. Macam takde hari esok. Kalau kes yang betul-betul urgent lain cerita. Tapi kalau segala benda adalah urgent, apakejadah?

2. Diherdik jika tidak memberi respon kepada perkara 1 di atas. Jangan layan.

3. Meluahkan personal feeling (of dissatisfaction) melalui egroup yang meliputi orang-orang yang tidak relevan dengan isu. Membuka pekung.



4. Tidak menghormati penerima email/panggilan telefon dengan panggilan Encik/Puan/Cik semasa berkomunikasi. Takde budi bahasa ke?

5. Menyalah-gunakan kuasa untuk tujuan kepentingan atau kegunaan peribadi. Dia buat takpe, orang lain buat tak boleh.

6. Mengaibkan kakitangan tertentu secara terbuka di depan khalayak atau rakan sekerja. Menjatuhkan maruah orang.

7. Bercakap yang lebih menjurus kepada menjerit. Suka meninggikan suara tak tentu hala bila bercakap dengan orang. Makhluk jenis ni pelempang je ubatnya.

8. Masuk pejabat orang dan memaki-hamun orang dengan kata-kata yang tidak sepatutnya. Dahlah salah sendiri. Dia punya samseng je dia kira, kita punya samseng dia tak tau.

9. Berbohong dengan meyalahkan orang lain demi melepaskan tengkuk sendiri apabila tersepit. Ada jugak yang percaya kelentong dia tu yang tak tahan tu. Dah terang-terang salah tu mengaku je lah.

10. Bacul untuk mengambil tindakan di atas kesalahan yang terang lagi nyata. Lebih-lebih lagi jika tindakan tersebut akan terpalit kepada "rakan-rakan" yang rapat. Potong je lah anu tu.

Ya, ini lebih menjurus kepada masalah etika yang saya hadapi di tempat kerja saya. Saya rasa ada sesetengah dari anda juga menghadapi masalah yang lebih kurang sama, kan? Kan? Kan?

Monday, December 7, 2009

SATU


Mikael sudah berumur 1 tahun.
Cepat betul masa berlalu.

Trivia menarik sempena satu tahun beliau:
1. Taknak tukar susu.
2. Lebih cergas bermain.
3. Lebih banyak membebel dalam bahasanya sendiri.
4. Suka makan rice crackers.
5. Semakin gemar menggigit saya. Sekuat hati.

Selamat hari jadi Mikael!

Monday, November 30, 2009

HADIAH UNTUK PENGANTIN

Sekarang musim orang kawin. Teringat saya akan trend menghadiri majlis kawin dengan membawa hadiah. Yang bagi duit tu, bagi duitlah. Ni nak cerita yang bagi hadiah.

Cerita bab bagi hadiah untuk pengantin ni macam-macam. Ada yang letak harga siling untuk hadiah yang diberikan kepada pengantin. Pukul rata tak kira siapa pun kawin. Ada yang tengok "siapa" yang kawin untuk menetapkan hadiah apa yang nak diberi. Tak kurang juga yang recycle hadiah kawin yang diorang pernah dapat dulu tapi masih elok dan belum digunakan. Macam-macam.

Ini antara cadangan hadiah-hadiah yang saya kira berguna kepada mempelai tapi mungkin bodoh atau lucu pada sesetangah orang. Tapi kalau saya yang dapat, saya akan gembira.

1. Ironing board. Sterika dah banyak orang bagi.



2. Tong gas. Ey, tong gas pun mahal tau!

3. Teko air panas. Cup and saucer set dah biasa.

4. Kitchen utensils. Sudip, kuali, senduk, pisau, lesung batu, chopping board dsb.

5. Tuala mandi. Yang mahal punyalah.

6. Mattress cover. Bagi sekali dengan cadar.

7. Botol simpan air. Dari jenis Tupperware, Bro's atau Siggs.

8. Water filter.

9. Air freshener dispenser. Bagi dengan sedozen stok wangian.

10. Pressure cooker. Rice cooker dan slow cooker dah biasa.

Amacam? Best tak cadangan saya?


Nota: Selamat kembung minum sirap dan kenyang makan nasik minyak saya ucapkan.

Wednesday, November 25, 2009

MUKA LAIN

Stesen radio melayu default saya ialah Hot FM. Asalnya saya mendengar Hot FM sebab saya dah menyampah dengan satu stesen radio No. 1 Malaysia masa tu. Meluat dengan exposure berlebih-lebih DJ radionya.



Jadinya, saya pun menjadi pendengar Hot FM sebagai menunjukkan sokongan saya kepada siaran radio berbahasa melayu yang baru nak naik, masa tu. Hari ini dengarnya Hot FM dah jadi stesen radio No. 1 di Malaysia dari segi jumlah pendengar. Baguslah.

Slot AM Krew adalah antara yang kerap saya dengar. DJ hos untuk slot itu ialah Fara Fauzana (Fafau) dan Faizal Ismail (FBI). Segmen-segmen dalam slot tu pun boleh tahanlah, takdelah hebat bak gegak gempita. Lebih kurang sama je sebenarnya format dia dengan radio-radio lain. Cuma mungkin sebab cara si Fafau dan FBI ni handle pendengar yang menarik. Entahlah.

Baru-baru ni si Fafau masuk hospital katanya. Tinggallah si FBI sensorang. Tapi itu ari Hot FM ada jemput si Halim Othman jadi partner FBI. Lepas tu sekarang Azhar Sulaiman pulak. Macam-macam. Entah apa strategi diorang pun saya tak tau.

Sebenarnya bukan saya heran sangat pasal DJ gantian ni pun, cuma ini mengingatkan saya kepada senario industri hiburan di Malaysia. Kita ni seolah-olah takde muka lain nak diketengahkan dalam industri hiburan. Penyanyi itulah jadi pelakon itulah jadi pengacara itulah jadi Dj radio and the cycle goes on.

Soalan saya: Ketandusan bakat sangatkah negara kita ini? Sedangkan banyak IPT di negara kita yang menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan industri hiburan. Kenapa tak diketengahkan? Alasan x-factor itu terlalu klise. Tapi, adakah beberapa orang saja di Malaysia ini yang mempunyai x-factor?

Ada pernah anda lihat David Letterman jadi penyanyi? Oprah Winfrey jadi penyanyi? Celine Dion jadi pelakon? Mungkin ada, tapi untuk cameo appearance sajalah kot? Saya juga mungkin salah.

Rumusannya: Saya cenderung jadi bosan melihat dan mendengar muka yang sama saja mendominasi industri hiburan Malaysia. Dah takde muka lain ke?
Do you people feel me?


Nota: Saya masih mendengar Hot FM setiap pagi.

Tuesday, November 24, 2009

MUSIM ITU

Musim itu kembali lagi
seperti dulu-dulu
seperti selalu-selalu

Musim itu kembali lagi
ramai tertunggu-tunggu
ramai berpusu-pusu

Musim itu kembali lagi
seperti dulu dan selalu
ramai tertunggu dan berpusu

Musim itu kembali lagi
aku masih seperti dulu dan selalu
aku tidak tertunggu dan tidak berpusu

Musim itu akan pergi
dan akan kembali lagi
berkali-kali

***

Kelebihan musim cuti sekolah yang paling ketara:
1. Jalan tak berapa jam. Aman tenteram.
2. Shopping mall akan terasa lebih sempit.
3. Hotel-hotel semua penuh kena booking.
4. Port Dickson dah tak serupa Port Dickson. Lebih kepada Port Klang.
5. Tempat-tempat percutian dan peranginan akan padat dek manusia.

Monday, November 23, 2009

PICISAN (BERNOMBOR)

1. Saya dah dapat buku Yasmin Ahmad's Films karya Amir Muhammad. Masih belum mula membacanya. Kalau dah mula membaca esok tak boleh berenti pulak. Terima kasih saudara Amir Muhammad.

2. Drama bersiri Nur Kasih dah nak abis. Entah apa lah endingnya. Minggu ni last episode katanya. Macam mana saya boleh terjebak menonton drama ni pun saya tak tau.

3. Anugerah Juara Lagu akan guna format baru. Takde kategori. Open. Macam manalah rupanya nanti.

4. Anak saya Mikael kena selsema. Nasib baik light/mild flu saja. Cepatlah baik harapnya.

5. Bekas DVD Transformers 2: Revenge of The Fallen yang special edition boleh transform jadi Bumblebee. Gile ah.

6. Malam minggu hari tu saya dan Raddy melepak di Restoran Haji Tapah, Taman Permata. Dah tak bestlah. Takde keceriaan. Airnya pula memang cenderung mendekatkan saya kepada penyakit kencing manis. Kena carik port lain nih.

7. Hari Ahad pula adalah hari nasi lemak sedunia. Mak mertua saya dan mak saya buat nasi lemak. Makanya, kadar lemak saya pun sudah bertambah.

8. The Curve pada hari Ahad macam puaka. Ramai orang. Oh ya, cuti sekolah dah bermula. Pening jugak kepala saya carik parking hari tu.

9. Kunyit yang saya campak dalam planter box sudah mula bertunas. Begitu juga dengan keratan pokok bunga raya yang saya rembat di Sepang pada raya aidilfitri yang lalu. Kaler apa bunganya pun saya tak tau. Tengok je lah nanti. Anak pokok cili burung je yang belum nampak apa-apa lagi. Itu ari campak 3 biji dalam planter box. Kacang botor sesat pun dah mula memanjat di pagar belakang rumah. Biarkan je lah.

10. Keadaan cuaca di Malaysia sangat lembap. Hujan hampir setiap hari. Tak payah susah-susah nak siram pokok.

Thursday, November 19, 2009

SARAPAN PAGI

Aku, Shidah dan Mazlan pagi tadi berhajat nak makan nasi lemak. Ada satu tempat kat Bangi ni yang aku suka nak pegi kalau melibatkan hal-ehwal makan nasi lemak. Kedai ni jual nasi lemak kukus dengan ayam goreng berempah yang panas-panas. Fresh from the wok. Dan sambalnya, mmuahh. Sangat lazat. Kat tekak aku lah. Jadi, pergilah kami bertiga ke kedai tersebut.

Standard kedai melayu, time tengah makan akan ada orang yang akan datang kira. Tapi ini ari tukang kira dia ada lambat sikit. Dah separuh jalan nasik nak abis baru datang nak kira. Nasib baiklah kami ni jujur orangnya.

Tukang Kira: Semua makan nasi lemak ayam eh?

Ketiga-tiga Orang Jujur: Haah.

Aku: Saya ada telur.

Mazlan: Saya pun ada telur.

Shidah: Saya takde telur.

...

Kan aku dah cakap kami bertiga ni jujur orangnya.

Wednesday, November 18, 2009

SETENGAH JAM SAYA DI RESTORAN HAJI TAPAH, BANDAR SERI PUTRA

Malam tadi teringin nak makan roti naan dengan ayam tandoori. Bukan teringin sangat pun. Sebenarnya dah tak tau nak makan apa. Haji Tapah lah jawabnya.

Di Haji Tapah.

Aku duduk bersebelahan meja sekumpulan 4-5 geng anak muda. Budak-budak KUIS barangkali. Melihatkan gaya penampilan berkopiah dan wajah sedikit intelektual. Gaya student masa kini. Teringat dalam Buletin Utama minggu lepas rasanya, budak-budak KUIS ada buat piket pasal kenaikan yuran. Macam-macam.

Buletin Utama. Karam Singh Walia tengah cover cerita organic waste. Laporan penglibatan beberapa organisasi dalam usaha mengasingkan organic waste untuk dilupuskan dengan kaedah biologi. Guna cacing. Mesra alam. Dan hasil uraiannya (decomposed waste) boleh dijadikan bahan lain seperti baja organik. Recycle babeh. Aku bersetuju dengan pendedahan dan usaha ini dan mula mencaturkan cara bagaimana nak mula mengasingkan sampah organik di rumah aku.



Geng anak muda meja sebelah tidak berminat langsung dengan laporan Karam Singh Walia. Mereka lebih galak berbual.

Iklan. Budak main kompang menyanyi: Potong! Potong! Potong!

Geng anak muda nampaknya berminat dengan yang ini. Salah seorangnya mengikut-ngikut irama: Potong! Potong! Potong!

Roti naan dan ayam tandoori aku masih belum sampai.

Geng anak muda masih mengikut-ngikut irama: Potong! Potong! Potong! Walaupun iklan tu dah hampir 10 minit berlalu.

Roti naan dan ayam tandoori yang aku order pun sampai. Aku abiskan teh o ais aku dan berangkat pulang.

Fikiran masih teringatkan laporan berita Karam Singh Walia dan geng anak muda meja sebelah yang gemarkan iklan Potong!

Tuesday, November 17, 2009

JAKET CORDUROY

Lewat 90-an.

Aku ada jumpa satu jaket corduroy. Baik punya! Memang grunge. Kata Raddy pada aku suatu hari.

Jaket corduroy? Nak pakai pegi mana?

Huish, ini baik punya jaket ni. Kalau awek tengok mesti jatuh cinta punya.

Iyelah, bila masa pulak aku nak pakai jaket-jaket nih?

Alah, jomlah angkat. Ada dua kaler. Satu cokelat gelap, satu cokelat cair. Aku nak angkat yang cokelat cair. Kau angkat yang cokelat gelap. Kita dua-dua pakai baru ngam. Aku nak pakai sorang seganlah. Sambung Raddy pandai-pandai membahagikan warna jaket corduroy yang ntah aku nak beli ntah tidak lagi.

Kat mana kau tengok jaket nih?

Haa... Antenna, The Weld. Nanti kita pegi usha.

***

Selepas milennium. 2003 - 2007.

Jaket corduroy aku memang jarang-jarang digunakan. Hanya sekali-sekala bila salji turun kat ofis aku ataupun kat rumah aku kat Keramat. Sampailah satu hari zip dia sudah jahanam. Memang kena tukar zip terus.

Sejak dari itulah aku dah tak pakai-pakai lagi jaket corduroy tu. Simpan dalam almari baju je lah, kawan dengan ubat gegat.

***

Baru-baru ini.

Haiya Frankie, thank you very much. You memang champion lah boleh repair ini zip. You tau ka berapa tahun saya tak pakai ini jaket sebab zip dia rosak.

Frankie hanya tersenyum-senyum sambil hidungnya sedikit kembang-kempis. Bangga agaknya.

Fuh, thank you Frankie. Thank you.




Nota: Raddy, jaket kau ada lagi? Muat lagi? Hehehe.

Saturday, November 14, 2009

MALAM TADI

Malam tadi.
Kitorang balik Keramat, rumah mak aku.
Nak tumpangkan Mikael sebab hari ini kitorang kena kerja.
Ada Majlis Konvo katanya.
Pagi-pagi buta nanti dah kena gerak ke opis dari Keramat.
Dia punya mengantuk mesti tahap terpisat-pisat punya.
Harap-harap Mikael tak banyak hal pagi esok.

Malam tadi.
Kitorang balik Keramat dalam keadaan semi kucar-kacir.
Mana nak kemas barang.
Mana nak basuh botol.
Makan malam pun entah ke mana.
Nak kejarkan tengok Nur Kasih dah memang sah tak sempat.
Harap nak tengok semi final Muzik-Muzik je lah.
Last-last, dah sampai Keramat, satu hape pun tak tengok.
Berbual punya hal.

Malam tadi.
Sampai Keramat mak aku terus suruh makan.
Dah 18 kali dia suruh baru kitorang makan.
Mikael dari dalam kereta lagi dah tertido.
Penat sangat barangkali.
Sambil kitorang makan mak aku tegur.
Rambut kau pun dah jarang eh?
Nyaris aku tersedak.
Ye ke? Nampak eh?

Pagi tadi.
Seperti yang dirancang, kami bangun lebih awal dari biasa.
Terpaksa beb.
Nasib baik Mikael pun tak banyak hal.
Bagus anak aku nih.

Pagi tadi.
Semasa bersiap.
Mengingatkan teguran mak aku malam tadi.
Aku set rambut aku seperti biasa.
Dengan gel rambut yang biasa.
Dengan gaya rambut yang biasa.
Tapi aku rasa gaya rambut aku ada sikit lain.
Sekali imbas ada macam gaya rambut satu mamat ni.
Dia tergolong dalam kategori kaya dan terkenal.
...
Nama dia Donald Trump.


Inilah Donald Trump.

Gampang (dalam hati).

Wednesday, November 11, 2009

MESEJ

Sebelum menonton filem.

Apa yang anda cuba sampaikan kepada penonton melalui filem ini?

Filem ini adalah sebuah filem aksi remaja. Realiti kehidupan remaja hari ini. Tapi ia bukan sekadar filem aksi kosong. Kita juga ada selitkan unsur-unsur drama dan komedi. Dalam masa yang sama juga sebenarnya ada mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.

***

Selepas menonton filem.

Apa benda mesej yang cuba disampaikan? Balik-balik aksi lumba kereta, lumba moto, cintan sana, cintan sini, nangis sana, nangis sini, lawak ntahapa-apa yang tak serupa lawak, over acting dan lain-lain yang seumpamanya. Jalan cerita yang bukan-bukan. Plot yang bukan-bukan. Mesej apanya?

Geli juga aku bila ditanya tak abis-abis nak kata ada mesej yang ingin disampaikan, ada mesej yang ingin disampaikan. Kau tak payah sibuk pening nak sampaikan mesej kat penonton, itu orang boleh simpulkan sendiri.

Pada saya, bilang saja filem yang dihasilkan adalah untuk hiburan semata-mata. Sebuah cereka. Kan lebih mudah dan tidak menyakitkan hati? Kalau ada penonton yang merasakan "mesej" dalam filem itu, anggaplah ia satu bonus. Tafsiran manusia ni berbeza-beza. Biarlah.

Janganlah bilang ada mesej yang ingin disampaikan tapi sebenarnya memang takde mesej langsung selain membazirkan masa.


Gambar sekadar hiasan. Tiada kena-mengena dengan entri ini.

Tuesday, November 10, 2009

BASTARDO

This entry contains foul language. Please read.

I currently hate this guy, Ivar Gnilek. Nope, I have to restate it. I don't like this Ivar guy ever since I was hired until now. Today even more. He just pissed me off this morning thorugh his shitty email content.

I just don't understand why must he stick his nose in my job area when he's not even good at his? Who the hell does he think he is? Looks like an asshole to me. A very deep one.

He claimed that he received "calls" asking what happened to these callers' application and I wonder how many are there. Two maybe. One even claimed they have sent it a month back but still haven't received anything yet. And this Ivar Gnilek fella snapped and jumped by emailing people about how things should be done to avoid such cases. Bullshit I said. When asked who is this applicant? He said he'll give the names later. Bullshit, again I said.

Let me tell you Mister, if an applicant sent his/her application a month back, that doesn't mean we should have received it by today. Pos Malaysia nowadays is not that reliable you know? And I'm not that idiot just sitting on it and do nothing. Come on. This is not my first stunt processing applications and issuing offer letters of admission. I've been doing this for 8 bloody years!

He should have 1) recorded the applicant's name, 2) checked with us on the applicant's status like when we received the form, if there is, 3) then only he can make any conclusions on how we should do our work. Instead, he simply burst this email like he's having a foul-email-composing diarrhea disease. Similar case happenned before but I shut everybody up with my factual report - which lead to Ivar Gnilek unit's fault. Big time.

Today, it's happening again and as usual, I won't play along with his dirty office politic game. May you rot in hell Mr. Ivar Gnilek.


Nota: Ye, saya kalau marah suka cakap omputeh.

HABAQ MAI KAWAN-KAWAN

Itu kata satu banner iklan depan rumah mak mertua aku. Huh. Kedai makan barulah ni. Ganti kedai Kelantan sebelum ni. Tak berapa nak laku kedai makan Kelantan tu. Eksyen sangat waiter dia. Sebelum kedai Kelantan tu ada kedai makan lain. Oh ya, kedai makan tu juga digunakan sebagai set filem Cinta (Khabir Bahtia) dulu.

Berbalik kepada banner tadi. Ia adalah kedai Mihun Sup Utara. Apa yang specialnya? Yang aku tau dan nampak ialah mihunnya kuning dan sambalnya warna merah. Lain semua biasa je. Macam mihun sup-mihun sup negeri lain. Ada mihun, ada sup, ada daging, ada babat dan ada sambal nak kasik pedas.

***

Malam tu ada majlis tahlil arwah Mak Long Shidah di Selayang. Malam tu jugak ada final bola Piala Malaysia. Kelantan lawan Negeri Sembilan. Gomo Kelate Gomo vs. Hoben Jang Hoben. Nasib baik bapak mertua aku pun nak tengok bola. Jadi, aku pun pesan supaya dia lekaskan sikit kalau dia yang jadi tekong majlis nanti masa dalam kereta on the way ke Selayang. Nasib baik dia jadi tekong hahaha.

Rata-rata sedara-mara syak Kelantan yang akan sapu NS malam tu. Hujan pulak tu. Diorang kata advantage kat Kelantan sebab biasa main hujan dan banjir. Hahaha gua gelak. Betul juga (dalam hati). Sampai Keramat, Kelantan sudah kena 1-0. Teori hujan dan banjir memang tak boleh pakai. Tak lama lepas tu kena lagi satu. Lepas tu, lagi satu. Aku terus tak selera nak tengok. Mana ada final bola kena sampai 3-0?

Tiba-tiba aku teringin nak try mihun sup kedai depan. Cadangnya nak bungkus. Boleh sambil layan bola. Tengok berapa bijik lagi Kelantan kena kehkehkeh.

***

Tak boleh bungkuslah bang, semua kena makan sini. Hari ni kita buat makan-makan.

Makan free lah ni?

Haah.

Bolehlah, makan sini. Bagi mihun sup satu.

Di belakang ada air sirap dalam tong dengan cawan-cawan polisterin. Aku ambik secawan dan belasah mihun sup tu sambil tengok bola. Tiba-tiba NS kena sebijik. Ah, takkan boleh menang punyalah Kelantan. Masa pun dah nak abis. Tiba-tiba tv tunjuk gambar kerusi terbakar kat stadium. Apa jadah? Vandalisme. Sivik zero. Nanti kena tangkap, bising. Kecoh. Terima sajalah kekalahan. Inikan bolasepak?

Aku habiskan mihun sup sambil berbual-bual dengan salah sorang mamat shareholder kedai makan tu. Boleh tahan hebat jugak sembangnya. Up saja. Pung-pang-pung-pang. Pasal keretalah, pasal rayalah, psal bolalah, pasal rumah terbakarlah dan macam-macam lagi. Aku layan dengar jelah. Ntah iye ntah tidak mamat ni sembang. Jaga hati, dah dapat makan free kan? Aku blah sebaik telinga aku mula nak bernanah dengar sembang pung-pang-pung-pang dia. Ini kalau dibiar mau sampai subuh ni.

Oklah mihun sup dia. Takdelah best gila-babi-terbang punya best. Ia adalah kategori: Bolehlah repeat kalau teringin nak makan mihun sup utara lain kali.

Friday, November 6, 2009

SEMINGGU YANG LALU


Seminggu yang lalu anak saya Mikael, diserang cirit-cirit.
Ia sangat teruk sehingga punggung dan kelangkangnya melecet. Merah.
Ia sungguh teruk sehingga dia cirit-cirit lebih dari 10 kali sehari.
Ia sangat menyedihkan sehingga dia trauma ke bilik air. Belum siram dah menjerit-jerit menangis.
Ia sangat teruk sehingga dia tidak mahu melabuhkan punggungnya. Terasa sangat pedih barangkali.
Ia kadangkala menghairankan bila melihat Mikael masih aktif seperti selalu-selalu walaupun perutnya tidak berapa sihat.
Ia sangat menghairankan apabila satu klinik yang kami pergi memberikan ubat yang salah.
Ia sangat menggembirakan apabila pakar pediatrik yang kami suka pergi memberikan ubat dan panduan yang betul.
Ia sangat mengujakan apabila Mikael sudah semakin pulih hari ini.
Ia sangat menggembirakan dan mengharukan apabila dikenang yang hari ini anak saya Mikael sudahpun berusia 11 bulan.
Dah 11 bulan kami membesarkan Mikael.
Macam-macam pengalaman yang kami perolehi.
Alhamdulillah.


Nota: Terima kasih brader Pyanhabib di atas petua dan nasihat beliau tempoh hari.

Thursday, November 5, 2009

KARIM

Karim! Ooo Karim! Cepatlah sikit. Dah berlumut dah aku tunggu kat luar ni.

Kejaaap! Satu minit!
Kedengaran bunyi kucar-kacir Karim bersiap dari dalam rumah. Takde orang rasanya dalam rumah tu melainkan Karim. Mak bapaknya sama ada pergi pasar ataupun berjogging kat Tasik Titiwangsa.

Karim hanya keluar rumah 3 minit kemudian. Aku dah tarik muka 14. Tapi nak tergelak bila tengok dressing Karim. Pergh. Jersi AC Milan siap tuck-in. Pakai jeans dengan kasut sukan yang boleh pump angin. Rambut siap letak Brylcreem setengah kilo. Sikit punya berkilat ke. Jom, kata Karim.

Kau nak ke mana dressing macam gini? Macam nak pegi Lot 10 je.

Hey, kita mesti sentiasa menjaga penampilan diri. Kacak bergaya. Baru boleh mengorat makwe.

Kami menaiki Bas Mini yang sangat berkapang panasnya. Mana ada aircond beb. Bagusnya Bas Mini ialah kadar tambangnya standard. Jauh ke dekat ke, tetap 50sen. Sebab tu untuk perjalanan yang agak jauh kami akan memilih Bas Mini. Macam biasa, orang kacak kenalah duduk baris paling belakang. Baru boleh usha line. Baru ada gaya macam samseng.

Dalam perjalanan, Karim yang memang kuat peluh mulai merembeskan manik-manik putih pada dahinya. Lekas-lekas Karim lap dengan sapu tangan key warna jingganya. Jaga penampilan katanya. Padahal yang ada dalam bas waktu tu cumalah makcik-makcik membawa bakul yang aku syak mereka hendak ke Pasar Keramat.

Kami berdua kalau dalam bas memang tak banyak berbual cuma sibuk mengusha kat luar sambil angin menerobos kena muka. Mana tau kot-kot ada makwe cun, boleh jugak suit-suit. Kalau nasib baik ada makwe cun naik bas. Tapi kalau dalam bas tak beranilah nak suit-suit. Malu seh.

Tapi hari itu nasib kami memang baik. Ada sekumpulan makwe sudah naik bas yang sama dengan kami. Aku tengok... macam kenal. Hah! Sah! Ini Faridah dengan geng-gengnya. Faridah ialah budak sebaya kami cuma lain kelas. Kami kelas 6 Bakti, Faridah kelas 6 Setia. Faridah ialah yang paling cun dalam geng-gengnya. Yang lain-lain tu boleh tahan je lah.

Sebaik Faridah dan geng-gengnya naik bas, kami dah tak senang duduk. Karim seperti biasa akan buat muka paling hensem walaupun sebenarnya muka dia hensem sikit je dari tapir. Aku biasa je lah. Buat-buat hensem dan jual mahal. Padahal curik-curik usha jugak si Faridah.

Tiba-tiba Karim jadi berani ntahapa-hapa. Dia sudah bangun dari kerusi dan terus ke arah Faridah yang duduk di bahagian depan. Aku jadi terkejut. Biar betul Karim ni? Dari belakang aku nampak Karim tersengih-sengih sambil berdiri memegang kerusi mengayat si Faridah yang sedang duduk. Dah macam gaya si Mi mengorat Wan Chik Daud dalam filem Do Re Mi dah aku tengok. Tergeliat sana, tergeliat sini. Faridah buat muka menyampah mula-mula. Lepas tu tergelak-gelak dengan geng-gengnya. Berjayakah Karim mengorat Faridah? Tiba-tiba Karim terus ke tempat duduk semula dengan muka merah padam.

Apa hal? Aku tanya Karim dalam nada hairan.

Kenapa kau tak bagitau aku tadi?

Apa benda?

Ni ha, zip seluar aku tak tutup. Siol lah. Kata Karim dalam nada berbisik sambil menarik zip seluarnya dalam posisi hampir baring nak sorok muka. Aku nak tergelak pun ada tapi tak jadi sebab kesian kat Karim. Lagipun dia janji nak belanja aku McDonald's nanti. Kalau aku gelak mesti dia kensel nak belanja aku. Oleh itu, baik aku gelakkan Karim selepas aku dah kenyang makan McDonald's yang dia nak belanja karang.

Di depan kelihatan Faridah dan geng-gengnya tertoleh-toleh ke arah tempat duduk kami sambil tergelak-gelak tak habis-habis. Itu jam, jauh benar rasanya nak sampai ke destinasi tujuan.

Baik aku buat-buat tak kenal Karim hari Isnin ni kat sekolah.

Tuesday, November 3, 2009

SAYA JUGA SEPERTI ANDA

Saya lebih suka makan nasik kalau lapar gila.
Saya perlu bayar bil utiliti setiap bulan seperti api, astro dan kad kredit.
Saya mesti kena beli susu dan diapers anak.
Saya perlu mengisi minyak kereta.
Saya suka melepak tanpa tujuan di kedai mamak bersama rakan.
Saya gemar mendengar muzik dan mononton tv.
Saya sungguh kacak.
Saya ada anak lelaki yang sangat comel.
Bini saya macam Cina sebab nenek dia memang Cina.
Ibu bapa saya adalah kategori konservertif.
Adik-adik saya masing-masing kacak dan chun. Tapi saya tetap yang paling kacak.
Saya cenderung marah bila berhadapan dengan pengguna jalan raya yang bengap tak tentu hala.
Saya suka masakan yang pedas. Tom Yam misalnya.
Saya tak heran kalau tak dapat makan McDonald's.
Saya ada dua kad kredit.
Saya ada lesen memandu kereta dan menunggang motosikal.
Saya suka masakan lontong mak saya. Terbaik!
Saya elak mengambil minuman bergula terlalu kerap.
Saya mengidam untuk memiliki gitar Godin Acoustic.
Saya berpendapatan sederhana.
Saya cenderung marah jika harga petrol dan rokok dinaikkan sesuka hati.
Saya sayangkan negara saya, Malaysia.
Saya selalu hairan dan marah dengan kes penderaan dan pembunuhan kanak-kanak.

Ya, saya juga seperti anda. Kalau tidak seperti anda yang sedang membaca entri membuang masa ini, mungkin anda yang sedang tidur atau buat kerja lain yang jauh lebih berfaedah atau mungkin langsung tidak berfaedah.

Sekian, terima kasih.

Thursday, October 29, 2009

TUA

Semalam saya ada urusan kerja di Medan MARA. Kucar-kacir jugak saya kena bangun pagi lebih awal dari biasa. Nak kena hantar anak dan bini dulu baru boleh terus ke Kolumpo dari Bangi. Trafik jem toksah cakaplah. Macam gampang. Pukul 7 pagi keluar rumah, pukul 9 pagi baru sampai MARA.

Itu yang saya hairan macam mana anak Yusof Haslam boleh buat filem Evolusi KL Drift. Ntah celah mana dia drift dalam kesesakan jalanraya di KL yang tak pernah tak jem kecuali pada Hari Raya pun saya tak tahu. Itu pun boleh meletup jugak filem tu.

Saya jaga kemasukan pelajar baru. Kerja hakiki saya. Macam-macam perangai budak-budak baru nak naik ni saya dah jumpa. Kadangkala lucu, kadangkala menyampah. Macam-macam ada... kata satu pakcik dalam iklan Astro tak lama dulu.

Semalam ada satu budak datang sama kawan dia kat kaunter kami. Dia kata dia belajar tak habis kat satu kolej lepas SPM dulu. Sekarang dia dah insaf dan nak sambung belajar balik. Pergh, macam slot Neraca Hidup dalam TV3 dulu. Baguslah tu. Dulu main-main sapa suruh? Saya kata dalam hati je lah.

Yang saya tak berapa berkenan ialah bila dia kata: Itulah, dulu masa lepas SPM budak-budak lagi, main-main belajar. Sekarang dah tua, itu yang ingat nak sambung belajar balik nih. Saya terkedu untuk 3 saat. Saya tengok dia dengan senyuman sinis lalu berkata: Awak umur berapa tahun yang "dah tua" sangat nih? Dia kata: 19 tahun.

Saya geleng-geleng dan tersenyum sinis sekali lagi sambil berkata: Apa yang tuanya 19 tahun? Kalau 19 tahun awak kata tua, saya ni apa? Tu pakcik tu kategori apa pulak? (sambil menunjuk ke arah satu pakcik yang hebat uban di kepalanya), tua nak mampos? Macam ni lah, umur 25 tahun ke bawah belum tua lagi dik. Belum terlambat. Yang penting awak nak belajar.

Ironinya, cara bercerita tu seolah-olah dah 10 tahun yang lalu dia ambik SPM dan hanya sekarang baru tersedar. Saya nak tergelak pun ada, meluat pun ada. Sama ada dia tak sabar nak jadi tua, kesal manjadi tua atau mungkin dia nak orang tau yang dia bukan budak sekolah lagi. Cheh.

Saya tak berikan dia tawaran kemasukan. Bukan sebab saya meluat tapi sebab dia tak cukup syarat kemasukan minimum ke Institut tempat saya kerja. Harap-harap dia tak kecewa hingga mendaftarkan diri ke Rumah Orang-orang Tua yang berhampiran hahaha.

Tuesday, October 27, 2009

TREND

Kisah penyanyi, pelakon, model, pramugari, pembaca berita, pengacara atau marhain berkahwin dengan lelaki kaya-raya dan keluar suratkhabar bukan cerita baru. Dari saya belum akil baligh lagi saya dah dengar. Bisik-bisik biasanya mengatakan: Elleh... nak duit lah tu. Ntah tang mana hensemnya lelaki tu ntah. Dogma.

Antara yang saya tau dan boleh ingat berkaitan kes-kes seumpamanya ialah Mazuin Hamzah, Mas Anizan, Habibah Yusof, Norish Karman, Nina Juren, Juliana Banos, Azrinaz Mazhar dan lain-lain yang saya ingat muka tapi tak ingat nama. Kes Nash Lefthanded kawin jutawan MLM itu agak istimewa hahaha. Tapi, ini soal jodoh beb. Kerja tuhan. Dah tuhan tetapkan diorang akan berkahwin dengan lelaki kaya dalam kehidupan ini, maka berkahwinlah mereka. Anda nak lawan?

Tapi hari ini ia bukan lagi isu besar dalam sesi bisik-bisik. Dah jadi biasa. Mungkinkah materialistik adalah kiblat terunggul manusia hari ini? Ntahlah. Saya syak sebab semua orang pun memang teringin nak kawin dengan lelaki kaya. Tidak? Jangan bohonglah hahaha. Buka minda. Saya tidak cuba menjadi seksis. Mak saya perempuan. Adik saya perempuan. Bini saya pun perempuan.

Yang ingin saya ketengahkan hari ini ialah isu selepas perkahwinan mereka dengan lelaki kaya-raya yang tidak berkekalan atau gagal. Cerai-mati kita faham. Ini kes cerai-hidup. Maksudnya: Pasangan yang bercerai dan masih hidup. Isu timbul bila pihak perempuan mula menuntut yang bukan-bukan atas tiket nafkhah katanya. Whatever.

Kalau kes melibatkan celebrity lagilah hebat liputannya dalam media. Macam takde berita lain dah kat Malaysia nih. Itu pulak jadi isu nasional. Kadangkala bila saya baca, tak masuk akal juga tuntutan-tuntutan mereka ni. Antaranya kereta mewah, banglo mewah, nafkhah sarahidup yang melampau banyaknya dan macam-macam lagilah. Jenis kes naik-turun mahkamah 8 tahun baru settle. Anak-anak apa cerita? Dan dalam tempoh perbicaraan tu, masih mampu pulak mereka menyara kehidupan (mewah) mereka.



Saya syak mereka sebenarnya lebih ingin memperjuangkan kemewahan di mahkamah berbanding hak seperti yang mereka selalu bilang dalam media. Mungkin saya bersyak wasangka. Hakikatnya, itulah yang kelihatan dari kaca mata saya dan mungkin orang lain. Wallahualam.

Duit. Boleh menyenangkan yang susah dan menyusahkan yang senang.

Islam kata: Amalkan kesederhanaan dalam hidup. Wasatiyyah. Itu yang saya ingat dari buku teks untuk sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam.
Dan saya sangat setuju.

Monday, October 26, 2009

ROOT CAUSE



Buletin Utama itu ari memaparkan satu kes budak bawah umur (16 tahun kalau tak silap) ditangkap kerana memecah masuk satu rumah dalam acara solo. Bengap.

Dalam kes sebegini saya pun cuba fikir sebab-sebab budak ni jadi sampai begitu berani. Saya syak cuma ada 2 sebab. 1) Kesempitan hidup. 2) Kurangnya pendidikan.

Memang ada kes orang sanggup berbuat apa saja atas desakan kesempitan hidup. Takde wang untuk makan atau minum atau apa-apa (yang kebanyakannya) memerlukan wang. Salah merekakah hidup mereka sempit? Itu sangat subjektif. Tak lalu saya nak hurai untuk entry kali ini.

Jauh di dalam hati sanubari saya tetap kata faktor paling dalam dan penting ialah: Kurangnya pendidikan. Bila kita kata pendidikan, kebanyakan kita akan terbayangkan sekolah. Dan ada yang akan terus melatah: Macam mana nak hantar anak ke sekolah kalau dah tak mampu? Pendidikan percuma untuk semua? Saya tidak mahu komen.

Pendidikan bukan tertakluk hanya pada persekolahan. Pendidikan boleh mengambil tempat di mana-mana saja. Dan bila kita kata pendidikan, ia bukan hanya meliputi ilmu hisab, ilmu bahasa dan pendidikan seni. Itu adalah sebahagian dari pendidikan.

Kita juga hairan (kadangkala) bila seseorang budak yang dihantar ke sekolah, dihantar ke tuisyen dan ke kelas taekwondo mempunyai sahsiah yang cenderung membuat kita berang (bersikap kurang ajar) berbanding budak yang mungkin tidak berpeluang mendapat pendidikan seperti budak yang pertama tadi.

Ini tidak mustahil kerana pada saya itu cuma pendidikan kosmetik dan bukan pendidikan jiwa. Walhal pendidikan jiwa inilah yang lebih penting. Namun, ada juga yang mendapat pendidikan jiwa yang cukup tapi musibat jugak perangainya. Kadangkala saya jadi keliru juga entah apa lagi yang tak kena.

Mutiara kata bos saya: Biar kita ambik (hire) orang yang tak pandai buat kerja tapi nak belajar buat kerja. Kita boleh train. Daripada ambik yang pandai buat kerja tapi taknak buat kerja. It's all about attitude. Sahsiah diri.

Dan saya adalah salah seorang yang sangat bersetuju dengan kata-kata: Pendidikan bermula dari rumah.

Thursday, October 22, 2009

NOTIS

Internet connection macam gampang.
Gua terpaksa ambik MC dari menulis weblog ini buat sementara waktu. Sehingga internet connection sudah kembali sihat.

Sekian, harap maklum.

Wednesday, October 21, 2009

DRUR DI AU2

Gua tengah basuh pinggan dan botol susu Mikael satu tengah malam tu bila tiba-tiba brader Pyanhabib SMS gua tanya buat apa. Bila gua cakap gua basuh pinggan, dia panggil gua hantu stokin! Hahaha apa kaitan stokin dengan basuh pinggan? Sampai sekarang gua musykil.

Dia ajak gua memeriahkan acara Dari Rakyat Untuk Rakyat (DRUR) yang akan berlangsung di Dewan Serbaguna AU2 Taman Seri Keramat. Kampung gua tu! Banyak kenangan dewan tu beb. Dari gua sekolah rendah (kes naik pentas ambik hadiah) sampai ke majlis kawin gua pun buat kat situ, hah.

Berbalik kepada perbualan SMS gua dengan brader Pyanhabib. Gua tak berani berjanji akan hadir ke majlis tersebut. Boleh munafik beb kalau memungkiri janji, takut. Jadinya, gua jawab insyaallah akan cuba hadir. Brader Pyanhabib kata: Mesti!

***

Di Keramat. Gua port rumah mak gua.

Gua SMS brader Pyanhabib bagitau yang gua dah pun berada di Keramat. Beliau mengingatkan agar hadir selepas solat Isyak. Gua pun balas ok je lah. Bini gua sebenarnya nak follow sekali malam ni tapi Mikael apa cerita? Last-last gua pegi dengan adik lelaki gua. Gua suruh dia bawak kamera hebat dia sekali. Nak jumpa Pyanhabib ni, gua bilang. Boleh ambik gambar.

Objektif DRUR pada gua ialah paparan kebenaran yang disorok dan memberi semangat dalam mencanangkan perubahan. Minda harus terbuka. Luas. Baru feel semasa menonton persembahan yang dipaparkan. Gua sempat tonton persembahan: Meor, Hishamuddin Rais, Rahmat Haron, ada-satu-mamat-gua-tak-ingat-nama-dia, Nik Jidan, Pyanhabib dan sedikit dari A. Samad Said. Gua salute persembahan mereka. Bersahaja. Berisi.

Masuk-masuk dewan gua terus sambar Gedung Kartun. Bahan bacaan terlarang nih. Forbidden reading material kata KDN. Siap brader Zunar bagi autograf lagi. Berlegar-legar karya beliau masa zaman Gila-Gila dalam kepala gua.

Gua duduk belakang brader Rahmat Haron. Takut jugak gua tengok rambut dia mula-mula tu. Tapi lepas tu gua biasa je. Brader Pyanhabib duduk dengan Hishamuddin Rais depan-kanan gua. Ada satu wanita duduk sama brader Pyanhabib. Gua syak wanita itu adalah bini brader Pyanhabib. Gua sempatlah jumpa dan bersalam dengan idola gua kejap sebelum dia buat perembahan.





Selesai brader Pyanhabib buat persembahan, gua ingat nak terus gerak. Sekali ternampak brader Hishamuddin Rais pulak kat luar. Gua bilang mau tangkap gambar sama pengarah filem Dari Jemapoh ke Manchester nih. Dia kata ok. Kami berbual lebih kurang di hadapan pintu masuk dewan sambil menghalau nyamuk. Sempoi brader nih bisik gua dalam hati. Berbual macam kitorang berjiran dalam bilik tahanan ISA dulu. Tak sia-sia gua minat dia dari jauh. Sempat jugaklah gua tanya pengalaman beliau shooting filem Dari Jemapoh ke Manchester tu dulu.



Gua mintak diri untuk pulang pada brader Hishamuddin Rais lepas satu brader yang pegang kamera DSLR RM30ribu mulai eksyen dengan kitorang. RM30ribu tu dia yang kata pada Hishamuddin Rais. Gua setuju je lah lepas tengok jenama kamera dan lens yang panjang sehasta tu. Gua juga sempat mintak diri untuk pulang pada brader Pyanhabib melalui SMS.

Sampai dalam rumah, brader Pyanhabib berpesan melalui SMS: Balik rumah bagi salam dan masuk rumah pelan-pelan sebab anak gua dah tido. Nasib baik gua tak bengap keluar rumah balik untuk mengikut nasihat beliau.

Kat rumah juga kelihatan bini gua tengah tersengih-sengih melayan Cerekarama dengan adik perempuan gua. Drama komedi barangkali. Mak gua tengah terbaring. Gua syak dia dah nyaris tido tapi buat-buat sedar. Anak gua tengah nyenyak baik punya dalam buaian. Adik gua kata Mikael penat sebab berjoget-joget tadi. Puas kena sakat la nih sampai penat tak hengat.

Malam itu hati gua sungguh girang. Fikiran gua juga menjadi semakin terbuka dek persembahan karyawan-karyawan hebat malam itu. Salute.

Thursday, October 15, 2009

GEMBIRA



Hati saya sangat gembira dan berbunga-bunga hari ini.
Jangan ditanya kenapa.

Tapi hati saya sangat gembira dan berbunga-bunga hari ini.

Wednesday, October 14, 2009

APA KHABAR

Bunyi gong Cina. SMS masuk. Gua semak.
Apa khabar? Lama tak dengar cerita. Apa cerita?
Kamarul rupanya. Lama gila tak jumpa, ingat dah jadi Presiden Zimbabwe.

Gua balas SMS Kamarul.
Baik. Alhamdulillah. Aku ok.

Bunyi gong Cina. SMS masuk. Gua semak.
Jom lepak minum-minum malam ni.

Gua balas SMS Kamarul.
Haji Tapah Taman Permata 10mlm belah kedai Senheng.

Bunyi gong Cina. SMS masuk. Gua semak.
Ok.

***

Ini agaknya Kamarul. Muka masih sama macam dulu, tak hensem. Badan ada sikit out tune terutama bahagian abdomen. Tapi dressing dah macam manager Jusco Alpha Angle dah aku tengok. Kalau iye pun tanggallah dulu tali leher tu. Malaysia ni panas bang. Baru balik ofis barangkali dia ni.

Hello my friend... long time no see (sambil kami bersalam).

Sambil Kamarul letak satu beg hitam atas kerusi kosong. Gua syak beg laptop. Berkerjaya hebat dan berpendapatan besar Kamarul ni barangkali.

Apa cerita Pye?

Biasa je lah, makan gaji, dapat gaji, bayar hutang, bayar bil api, bil astro, beli susu anak, beli pampers dan lain-lain.

Kau nak income lebih? (kata Kamarul sambil membuka clear folder berisi katalog barangan dari beg hitamnya)

***

Mamak dan pelanggan berhampiran kat Haji Tapah semua tercengang tak tau nak buat apa. Gua usya diorang dengan pandangan paling tajam umpama helang sambil berjalan ke arah kereta gua yang sebenarnya hensem tapi dah tak hensem sebab lama tak mandi.

Di depan kedai Senheng kelihatan 1 meja lipat dan 2 kerusi dah terbalik. Kamarul tersandar pada shutter kedai Senheng dalam keadaan terduduk atas lantai sambil memegang mata kirinya. Lebam barangkali.



Lain kali jangan cuba nak ajak aku lepak minum kalau berhajat nak bukak cerita MLM.

Tuesday, October 13, 2009

SELFISH



Selfish ialah sikap pentingkan diri sendiri. Bukan jual ikan. Ia adalah sejenis sikap yang tersangatlah busuk dan lazimnya menyusahkan orang malahan menyakitkan hati. Ini pengalaman-pengalaman saya:

Kita bukan main menunggu satu kenderaan ni kat simpang sebelum membelok. Demi keselamatan dia dan kita. Saling menghormati di jalanraya katanya. Tiba-tiba dah dekat, dia belok. Lagi best, dah masuk simpang baru dia bagi signal. Kepala pituk dia.

Sewaktu solat berjemaah, kita perlu rapat dan luruskan saf. Kita di saf hujung. Masih ada ruang untuk sorang lagi jemaah masuk saf sebelah kita. Kita pun bukan main jaga bukaan kaki kita supaya tidak menimbulkan rasa kurang selesa kepada jemaah sebelah yang akan masuk saf tu nanti. Tak alih-alih dia masuk sebelah lepas tu nak bukak kaki seluas-luasnya lantas mengganggu khusyu' kita. Besar sangat ke anunya sampai kena mengangkang sebegitu luas?

Tolong tinggalkan jamban awam seperti mana anda hendak sewaktu anda memasuki jamban itu tadi. Kebersihan. Kalau ada sepalit taik yang terlekat lepas anda selesai menyembur tadi, siramlah sikit, lepas tu flush lah balik. Payah sangat ke? Tak berpeluh pun.

Kita membeli-belah di sebuah hypermarket dengan troli barang yang gedegang besar dan stroller anak kecil kita. Lorong rak barang di design supaya troli barang boleh berselisih, malah ada sikit lebihan ruang lagi. Cukup selesa pada hemat saya. Tiba-tiba satu makcik ni langgar je kita dengan bakul di tangannya sewaktu kita membelek barang yang nak dibeli di rak. Maaf terlanggar? Kirim salam. Bukanlah ndak sangat, tapi cuba kalau kita yang buat macam tu kat dia, pantas kita di cap kurang ajar dan tak hormat orang lebih tua. Saya syak dia adalah bekas pemain American Football masa di universiti di US dulu.

Iklim ekonomi 2009 kurang memberangsangkan maka tiada kenaikan gaji apatah lagi bonus untuk tahun ini. Ini semua dah dijangka malah tak memeranjatkan pun. Cadangan penyelesaian: Tarik sikit (korbankan) benefit pekerja untuk menjimatkan kos operasi. Perdebatan: Sanggupkah mereka mengorbankan benefit mereka seperti elaun kenderaan, elaun pengurusan, elaun telefon dan elaun rumah terlebih dahulu sebelum mengorbankan benefit para pekerja yang berpendapatan jauh lebih rendah daripada mereka. Dahlah gaji mereka sedia besar, dapat elaun itu-ini lagi. Bila nak downsizing, kita pulak yang jadi mangsa dulu. Ini undang-undang mau kasi mampos. Buat masa ini mereka belum berani mengumumkan apa-apa.

Ada pengalaman yang lebih menyakitkan hati?

Monday, October 12, 2009

SAYA HAIRAN

1. Kenapa bila BN menang pilihanraya (tak kira besar atau kecik), bukan main besar lagi keluar headline suratkhabar arus perdana tapi bila kalah, headline dia ialah kisah ikan paus terdampar (misalan berbaur sinikal).

2. Kenapa orang Melayu sukakan perkara yang menyusahkan (baca: adat, budaya dan tradisi). Contoh: Dodol. Bukan main leceh nak buat tapi kenapa nak dibuat jugak?



3. Kenapa Datuk Siti Nurhaliza kejap-kejap pakai tudung, kejap-kejap tak pakai tudung. Eh, yang dia pakai kat kepala tu tudung atau penutup kepala? Hahaha.

4. Kenapa ada warga Indonesia yang tidak menghargai bantuan kita kepada mangsa bencana gempa bumi baru-baru ini? Apa agaknya yang berlegar dalam kotak fikiran mereka? Tapi saya salut Malaysia sebab tidak melatah dalam hal-hal sebegini. Semangat obligasi kemanusiaan kita memang bagus.

5. Kenapa masih ada penonton yang menyokong (baca: undi sms) rancangan realiti berbaur hiburan persembahan (show entertainment) yang pada saya membuang masa. Penonton kah atau penerbit rancangan tersebut kah yang sengal? Lihat saja hala tuju peserta-peserta ini baik yang menang mahupun yang kalah selepas sesuatu musim rancangan realiti itu tamat. Selain kebenaran bidalan you are what you eat, bidalan you are what you watch juga saya kira mungkin benar.

6. Kenapa "orang kita" suka tengok dan membanding-bandingkan status melalui hal-ehwal material? Lebih atas lagi, kenapa perlu nak membanding-banding? Untuk bersaingkah? Untuk modal mengumpatkah? Untuk membangga dirikah? Takde keje lain kah?

7. Kenapa kalau sesuatu parti tewas, undi pos sering dipersalahkan dan dipertikaikan? Tapi kalau parti yang tewas itu menang tak pernah mention pulak pasal undi pos? Ingat askar dan polis di perbatasan tu tak kecik hati ke bila orang pertikaikan undian mereka?

8. Kenapa negara kita "suka" mengiktiraf seseorang hanya selepas mereka mati tapi tidak menghargai mereka semasa mereka hidup? Adakah ini procedure?

9. Kenapa 1Malaysia kalau masih ada sekolah jenis kebangsaan, berita tamil, berita mandarin, berita melayu, majalah tv satelit dalam pilihan 3 bahasa dan lain-lain lagi? Oh ya, 1Malaysia... pelbagai bangsa, pelbagai citarasa. Ye ke?

10. Kenapa sebuah organisasi yang bukan korporat dan bukan milik sendiri (bukan shareholder) ingin berkelakuan (baca: berlagak) seperti atau mungkin mengalahkan organisasi korporat lain yang keuntungan mereka berlipat kali ganda. Lebih menghairankan cuma mereka "di atas" saja pula yang menikmatinya.

Hairan... hairan.

Tuesday, October 6, 2009

PANAS SEJUK


Model molekul Octane dalam 3D

Dah banyak kali diorang mainkan perasaan aku. Punyalah aku bersungguh-sungguh menyokong produk mereka dengan harapan mereka memilih aku. Tapi tewas juga.

Dulu remeh sikit. Nak kena isi boranglah, hitulah, hinilah, ahhh... macam-macam lah kalau nak menyusahkan. Nak bagi, bagi je lah. Taknak bagi sudah. Ini tak habis-habis nak mainkan perasaan aku.

Tapi aku tetap tak putus asa sebab makin lama makin senang prosedurnya untuk berjaya. Takde kerenah birokrasi lagi. Cuma, kebarangkalian nak berjaya tu jadi semakin tipislah. Pun begitu, aku tetap ingin mencuba tanpa jemu. Besides, I've got nothing to lose.

Makanya, tahun ini, aku pun mencuba lagi. Klise bukan? Dan seperti sebelumnya juga, harapan aku memang sentiasa tinggi menggunung untuk berjaya. Bohong kalau aku kata biasa-biasa je, heh.

Ya, rezeki adalah ketentuan tuhan. Jangan risau, aku faham itu.

Apa benda yang aku merepek nih? Ingin tahu? Nah, ketip sini.


Nota: Doakan saya berjaya.

Monday, October 5, 2009

TIMBANGKANLAH



Sweeping Malaysia.

Cari makan di Malaysia sebagai tukang sapu.

Tarian Pendet milik kami.

Ambiklah. Kami banyak tarian lain lagi.

Kita kepung Kedutaan Malaysia.

Kau tak fikir kedutaan korang kat Malaysia?

Buluh runcing.

Makan lemang buluh lagi bagus dari melayan korang.


Orang memberi kita merasa,
orang berbudi kita berbahasa.

Budi bahasa amalan kita.
Kamu bagaimana?


Nota: Aku akan hulurkan sumbangan jika dihulurkan tabung bantuan bencana Padang.

Thursday, October 1, 2009

KOMEDI

Sedar atau tidak aku sebenarnya telah didedahkan dengan komedi sejak dari kecil lagi sebenarnya. Aku je yang mungkin tak terperasan. Dan tiba-tiba aku teringat lawak ntahapa-hapa masa aku kecik-kecik dulu. Ada yang memang dengan sengajanya dibuat lawak dan ada juga yang hanya menjadi lawak bila aku dah akil baligh seperti hari ini. Ini antaranya:

1.
Eh, apa tu?
Mangsa komedi akan spontan menoleh ke arah yang ditunjukkan. Apabila mendapati tiada apa di situ mangsa akan kembali menoleh kepada pelawak dan si pelawak akan berkata dengan wajah gampang:
Saaatu kosong.
Dan kiraan mata akan bertambah jika mangsa "dikenakan" sekali lagi. Dan lagi.

2.
Pelawak: Eh, darah! Darah!
Mangsa: Mana? Mana?
Pelawak: Darah satriaaa...

Sebenarnya takde darah pun. Ia lawak sempena filem Darah Satria lewat 80an dulu. Tak tau filem tu? Sahih budak mentah.

3.
Ayomattt... Gesettt... Go!
Ini adalah tempikan untuk acara lumba lari yang aku rasa sepatutnya berbunyi:
On your markkk... Get settt... Go!

4.
Who shoe is are dirty shoes
Please go out and clean your dirty shoe
Who shoe is, sent for out!

Ini lat-tali-lat jenis susun kaki untuk pembahagian kumpulan. Kalau ikut sebutan memang macam tu lah bunyinya. Tunggang-langgang macam haram hahaha. Grammar confirm out! Tapi itu jam takde siapa pun peduli janji bunyinya ada dan lebih kurang sama.

5.
Assalamualaikum, kum apa? Kombat. Bat apa? Batman. Man apa? Mentol. Tol apa? Tolak. Lak apa? Laksa. Sa apa? Sapu. Pu apa? Puan. Wan apa? 1 2 3 4 5 6 7 8 9 ten. Ten apa? Tembak. Bak apa? Bak duit. Bak duit. Bak duit.
Ada sesetengah bunyi memang langsung haram tak rhyme contoh: Batman ke Mentol dan 1-to-ten ke Tembak. Apa kegunaan "lagu" ni pun aku tak tau. Mungkin sekadar nyanyi untuk suka-suka. Pun begitu tiada siapa pun yang peduli janji bunyinya ada dan lebih kurang sama.

Best kan, zaman kanak-kanak?

Wednesday, September 30, 2009

HEY ARNAB



Hey arnab,
kau kenal aku ke?

Hey arnab,
kau biasa berbual dengan aku ke?

Hey arnab,
kau memang suka dengar kata nista tentang aku ke?

Hey arnab,
kau memang suka dengar cakap-cakap orang ke?

Hey arnab,
kau sedar tak yang kau tu menumpang?

Hey arnab,
muka kau tak boleh ketat lagi ke?

Hey arnab,
kau ingat aku kisah dengan angkuh kau ke?

Hey arnab,
jalan lah.


Nota: Saya sukakan arnab yang asli (real rabbit).

Tuesday, September 29, 2009

OPS SIKAP



Ops Sikap ialah operasi kategori trafik yang PDRM cipta khas untuk rakyat Malaysia dan dilaksanakan terutamanya pada musim perayaan.

Media kata Ops Sikap tahun ini gagal kerana mencatatkan rekod kematian tertinggi dalam sejarah selama 8 tahun operasi ini dilaksanakan.

Ini perspektif saya:

1. Kalau dari segi bilangan memanglah tertinggi tahun ini (261 kematian) tapi dah semak dari segi nisbah (ratio) dengan jumlah rakyat Malaysia yang ada sekarang?

2. Apa jadi dengan cadangan meningkatkan kelajuan lebuhraya dari 110km/h kepada 120km/h? Sebab ada dakwaan mengatakan kemalangan maut bukan semuanya sebab laju tapi sebab ada kenderaan yang lembab. Benar atau tidak saya tidak tahu.

3. Adakah kebanyakan kes kemalangan maut yang menyumbang kepada statistik tahun ini berlaku pada waktu operator tol lebuhraya memberi diskaun?

4. Adakah langkah operator tol lebuhraya memberi diskaun kepada pengguna lebuhraya satu langkah yang bijak atau membawa padah sebenarnya?

5. Setelah 8 tahun, adakah modus operandi Ops Sikap ini masih relevan untuk PDRM gunakan?


Nota: Macam gampang gaya bahasa entri aku hari ni.

Monday, September 28, 2009

DUA KALI

Ini cerita sehari sebelum hari raya 2009.

Kampung gua kat Taman Seri Keramat, 54200 Kolumpo. Kampung bini gua pun sama. Taman Seri Keramat, 54200 Kolumpo. Gua memang tak heran langsung hal-ehwal masalah balik kampung untuk hari raya nih. Baik dari aspek kesesakan lebuhraya mahupun tol percuma. Balik kampung untuk hari raya pada gua adalah sama saja seperti gua balik kampung setiap hujung minggu.

Untuk tahun 2009, kami bercadang untuk balik kampung sehari sebelum raya yakni hari Sabtu. Nak gerak pagi lepas sahur cadangnya. Namun begitu, cadangan hanya tinggal cadangan selepas cadangan ditutup dengan kelewatan bangun pagi yang memang langsung tidak disengajakan.

Walau bagaimanapun, kami anak-beranak tidak sedikit pun cemas kerana
1) Kampung dekat.
2) Tak payah menggelabah nak carik sarapan sebab bulan masih puasa.
3) Kesesakan perjalanan disyaki hanya akan berlaku kepada jalan ke arah keluar Kolumpo manakala kami pula nak ke arah Kolumpo.
Ini hanya masalah kecil. Settle.

Keluar je exit Putra-Mahkota ke arah Kolumpo gua jadi terkejut untuk 3 saat. Dia punya jam kat lebuhraya PLUS ke arah selatan sudah bermula. Ekor terakhir kesesakan ialah sekitar exit Bangi. Gila. Gua tersengih-sengih macam kambing je lah tengok kesesakan lorong lawan. Ini semua mesti kes terlambat bangun macam aku nih. Patut lepas sahur dah gerak.

Perjalanan ke kampung kami sangat tenang. Dia punya tenang kalah Horatio CSI Miami punya tenang. Kitorang port rumah mak gua. Kemas punya kemas tiba-tiba gua teringat satu perkara hidup-mati hari raya. Baju raya Shidah dan Mikael masih tergantung di belakang pintu bilik tidur kami di Bandar Seri Putra. Aisehmen!

Shidah dah buat muka syahdu bila dia kata: Takpelah, I pakai je lah baju apa yang ada kat rumah mak. Masalahnya Mikael ada satu je baju melayu yang nenek dia jahit. Apa barang Mikael nak kena pakai bodysuit + overall di pagi raya?

Gua pantas terbayang kesesakan di lebuhraya tadi. Dalam hati: Nak patah balik ke tidak nih ambik baju raya? Oh ya, baju raya gua memang dah standby kat rumah mak gua. Itu ari adik gua pinjam.

Tidak mahu menghampakan anak-isteri berhari raya pertama kali dengan warna baju raya sedondon 3 beranak, gua nekad cargas kembali ke Bandar Seri Putra. Shidah suruh gerak petang sikit. Gua bantah. Gua bilang: At least kalau gerak sekarang banyak lagi masa sebelum buka puasa. Kalau gerak petang pastu highway masih jam gila-babi, takkan gua nak buka puasa dalam kereta pada raya eve tahun ini? Dan sebagai juragan keluarga, gua gerak jugak. Shidah pesan: Jangan laju-laju. Insyaallah gua balas dalam hati.

Keramat 1045am. Bandar Seri Putra 1130am. Itu jam kesesakan lebuhraya hanya bermula selepas exit Putra-Mahkota. Alhamdulillah.

Sampai je rumah gua terus ambik baju raya belakang pintu bilik, kemas peti ais sikit, buang sampah lepas kemas peti ais, ikat lock tingkap bilik belakang dengan cable tie untuk keselamatan, kunci pintu elok-elok dan terus gerak balik kampung (sekali lagi). Jam tangan gua masa tu menunjukkan 1135am.

Gua sampai Keramat 1200pm. Mana ada laju?

Dan tahun ini, untuk pertama kalinya kami beraya bertiga dan dengan warna baju raya yang sama. Ini mesti nak repeat kaler lain tahun depan nih.
Kecoh betul hal baju raya nih.

Saturday, September 19, 2009

Friday, September 18, 2009

5KG

Saya ada dua kisah pendek berkaitan 5kg.

Kisah 1

5kg ialah jumlah berat yang berjaya saya lupuskan dari badan ini sempena Ramadhan tahun ini.

Seluar-seluar kerja saya juga turut merasa kesannya apabila saya terpaksa ketatkan tali pinggang. Wow! Ya, wow! Dan tidak, saya tidak buat sebarang senaman di gimnasium. Semuanya natural. Kehebatan berpuasa.

Oh ya, jangan cuba potong stim dengan bertanyakan berat badan saya selepas pagi raya nanti. Nafsu makan amat sukar dikekang pada waktu itu.


Kisah 2

5kg ialah jumlah beban yang mesin basuh saya boleh muatkan pada satu-satu masa.

Malam tadi sebelum tidur saya teringin nak basuh segerombolan tuala. Takut tak sempat hari ni. Termasuklah tuala yang sedang saya pakai. Tapi saya nak berak dulu. Saya kalau nak berak memang pakai tuala. Lepas berak boleh start mesin.

Tapi lepas berak saya terus start mesin. Solat Isyak. Lepas solat saya terperasan yang saya menyalin kain pelikat dengan tuala semula. Damn! Mesin dah jalan! Tiba-tiba saya teringat kebolehan istimewa mesin basuh saya iaitu: Fungsi tambah pakaian (add clothes). Pantas saya salin seluar pendek tidur dan tekan butang istimewa itu. Wah! Betul berhentilah! Saya campak tuala tadi masuk mesin basuh, kunci pintu dan naik tidur. Ya, mesin basuh saya terletak di luar (belakang) rumah.

Anggaran jumlah keseluruhan tuala yang dicuci malam tadi ialah sekitar 5kg. Agaknya lah.

Untuk makluman, kalau dua-dua kisah pendek ini tidak berapa relevan dengan tajuk entri pun, saya peduli apa? Sebab kebanyakan orang dah mula bercuti raya hari ini. Termasuklah Guru Besar SRK(2) Taman Keramat.


Nota: Saya tesenyum dan tersengih membaca ini pagi ini.

Thursday, September 17, 2009

PICISAN (BERNOMBOR)

1. Kenapa nak suruh Dr. M pakai kalung selipar? Tak kelakar langsung.

2. Jangan membazir dan kita kena ubah cara hidup sempena zaman gawat ni. Jom masuk F1.

3. Rasul konon, mana mukjizatnya? Mana ada Rasul Allah lagi selepas Nabi Muhammad SAW? Itu pun ada jugak yang bengap boleh jadi pengikut. Ini memang jenis bengap yang tahap nih.

4. Itu PM betul-betul mau repair Puduraya lah. Dua kali sudah melawat. Datang naik LRT. Beratur beli tiket bas dan naik bas balik Pekan bersama rakyat marhain je belum lagi hehehe. Cubalah.

5. Ingat kitorang heran sangat dengan Tarian Pendet korang tu? Ambiklah. Ambiklah dengan yang pendatang-pendatang (haram) ni sekali. Sweeping Malaysian konon. Buluh runcing konon.

6. Game Arsenal vs. Man City minggu lepas memang kelakar. Terbayang-bayang aku muka si Pipiyapong hahaha.



7. Elie Yousseff ni kalau aku dapat hentak kepala dia kat dinding sedap jugak. Suka-suka tak mengaku dah kawin, ada anak pastu tiba-tiba dah Kristian.

8. Ada pilihanraya (kecil) baru nak buat-buat tolong orang kampung. Tiba-tiba ada emak angkatlah, tolong repair bot nelayan lah, makan bersila atas lantai lah. Geli betul.



9. Kalau perang dan korupsi tak sudah-sudah, gua cadang nak pindah planet yang diorang baru jumpa nih dengan family gua. Panas sikit takpelah, nanti gua pasanglah air-cond pelan-pelan.

10. Iklan raya lama Petronas yang dia asingkan bapak dia dari makan sekali satu meja sebab bapak dia selalu jatuhkan pinggan ke lantai memang sungguh menyentuh hati. Sama jugak dengan iklan yang si anak bagi "invois" pada bapaknya dan juga iklan burung apa? Agaknya memang natijah bapak ni kurang disayangi berbanding emak agaknya eh?

Wednesday, September 16, 2009

TUPAI & ULAR

Entah kenapa tidak berkenan benar dia dengan si ular tu. Ada saja sisi ular tu yang tidak kena dengannya. Macam saja carik pasal pun iye jugak.

Kalau ikut sejarah memanglah ular tu tak senonoh perangainya. Suka makan ayam, patuk orang, makan anak lembu, makan telur, patuk tupai dan macam-macam lagilah. Pernah ada satu kes kat oversea, ular makan babi. Pergh.



Tapi tupai ni tak berkenan kat si ular ni sebab dia suka menipu. Itu ari ular kata tupai sangat kacak, tapi esoknya dia kata tupai curik makan pisang kat kebun Pak Abu. Apa benda nih? Shuffle betul. Padahal tupai hanya kacak dan dia tidak curik makan pisang di kebun Pak Abu.

Lagi satu yang tupai tak berapa berkenan tentang ular ni ialah, dia suka betul curik tulang. Yelah, kekadang hutan rimba ni pun perlu buat gotong-royong jugak kan? Yang si ular ni suka betul mengelat. Orang dah bahagi-bahagikan tugas masing-masing tu, buatlah. Yang tak tahan tu ada AJK bagi kebenaran (mengelat) pulak tu. Gampang betul.

Sudah natijah ular, carik makan bila lapar. Bila dah kenyang tido dan bangun bila dah lapar balik. Yang si ular ni pulak kalau bosan tido, buat-buat sibuk kat tempat orang. Suka terhiling-hiling sana-sini. Proaktif dan sibuklah konon. Padahal mempamerkan lakonan saja.

Yang lagi satu si tupai ni tak paham, dalam pada itu ada jugak warga rimba yang dengar cakap ular ni. Memang pandai cakap ular nih. Tapi sebenarnya si tupai syak yang ular ni ada ilmu songsang. Iyelah, macam mana AJK warga rimba boleh dengar/layan cakap si ular ni? Nak-nak lagi raja rimba dan AJK penyiaran rimba. Walhal si ular ni ahli rimba biasa je. Mistirius sungguh.

Entah kenapa tidak berkenan benar dia dengan si ular tu.

Tuesday, September 15, 2009

SENANDUNG


Tiada album koleksi lagu-lagu Hari Raya yang berjaya memenuhi citarasa halwa telinga aku selain dari album ini. Sejak kecik aku layan sampai naik hafal lagu apa next track after another.

Sekarang payah benar aku nak dengar lagu raya di radio. Apahal ntah? Dah tu lagu raya yang keluar pulak ntahapahapa. Takrif ntahapahapa mengikut telinga aku ialah selain dari lagu raya yang biasa aku dengar masa kecik-kecik dulu. Dan lagu raya yang biasa aku dengar adalah dari album di atas misalnya.

Biasa juga diperdebatkan tentang lagu raya baru/lama ni selain sebagai soalan lazim yang ditanya semasa temubual dengan artis. Mana lebih best lagu raya baru atau lama? Hek eleh, kalau tanya aku mestilah lagu-lagu raya seperti yang terkandung dalam album dia atas. Malar segar (evergreen) bak kata Abby Fana. Secara peribadi, aku memang tak berapa gemar lagu-lagu raya penyanyi asal ini dinyanyikan semula dengan nafas baru. Nafas baru yang berbau. Hahaha.

Tapi kalau kita tanya pada Syamil (anak buah saya) lagu raya mana yang paling best, dia akan jawab lagu Smack That sambil beliau menari-nari dengan gaya yang paling kucar-kacir berdasarkan muzik yang keluar dari handphone bapanya. Kau nak cakap apa? Dia membesar dengan muzik sebegitu.

Hahaha... oh ya, cerita jawapan Syamil tentang lagu raya tadi hanyalah metafora tapi cerita tarian kucar-kacirnya adalah benar belaka.

Jangan skeptikal, saya bukan anti muzik hip-hop, techno atau muzik pung-pang-pung-pang yang seangkatan dengannya. Tidak. Saya juga meminati Prodigy, Too Phat dan Siti Tanjung Perak (eh?).


Nota: Sila perkenalkan kepada anak-anak anda dan generasi seangkatannya dengan keindahan muzik yang sebenar. Muzik Jazz dan Keronchong misalnya.

Friday, September 11, 2009

HARI INI

Orang (sesetengahnya) masih belum habis-habis lagi bercakap, mengkaji, menafi, menuduh dan lain-lain yang seumpamanya mengenai kejadian hari ini, 11 September, 8 tahun lalu. Kat Discovery Channel pun ntah berapa ratus kali nak tunjuk pasal kejadian ni.



Macam-macam aku dengar, baca dan tonton. Ada yang boleh diterima akal, ada yang tidak. Ada yang melampau mengarutnya. Penafian toksah ceritalah. Teori ntahapahapa lagi bersepah. Masing-masing dah macam Grissom CSI Vegas kalau buat hipotesis dan teori.

Apapun, kejadian yang lebih santai dipanggil 9/11 tu memang mengubah banyak perkara kepada warga dunia secara langsung atau tidak langsung. Apatah lagi Amerika sendiri. Ini komen-komen aku.

Komen 1: Padan muka Amerika. Eksyen sangat.

Komen 2: Asal bom je, pengganas Islam. Apa hal?

Komen 3: Ini adalah propaganda nak menjatuhkan Islam.

Komen 4: Kurang logik bangunan gah begitu boleh runtuh sebegitu mudah.

Komen 5: Aku syak ini Illuminati punya kerja nih. Freemason.

Aku tak kesian ke pada 3000+ mangsa yang terbunuh? Aku kesian. Aku simpati. Tapi pemimpin diorang ada rasa kesian atau simpati kepada Afghanistan? Iraq? Gaza? Itu jenis jumlah mangsa bukan 3000+ je beb, jauh lebih banyak.

Jadi, kalau kita ada rasa nak kenang atau kesian atau simpati atau pay tribute ke atas kejadian 9/11 yang menimpa Amerika, kenanglah juga apa yang telah (pemimpin) Amerika lakukan kepada dunia dan Islam.


Nota: Kepada En. Barack Obama, with due respect, kalau lu nak tutup weblog gua sebab entry ini, lu tutuplah, gua tak kisah. Takde hal punya.

Thursday, September 10, 2009

PEKENA

Ahhh... hujung minggu hampir kembali. Cepat betul rasa bulan puasa tahun ni. Alih-alih tau-tau dah nak raya dah. Huish. Brader Pyanhabib mesti gumbira tak terkata nih sebab dia dah buat countdown raya dari first day puasa lagi heheheh.

Kitorang laki bini memang dah lama betul tak pekena kopi kat satu kedai kopi nih. Dulu hampir tiap-tiap hari kami melangut kat Great Eastern Mall, Jalan Ampang pekena kopi dulu seround lepas balik kerja sebelum sampai rumah. Itu ari stop kejap sebab Shidah mengandung. Lepas bersalin pun agak lama jugak tak pekena.

Kebetulan kawan-kawan yang kitorang suka yang kerja kat outlet tu pun dah ramai yang takde sebab kena transfer lah, berenti lah, sambung belajar lah dan macam-mcam lagilah. Makanya, kitorang pun agak kurang rajinlah nak melepak kat situ.

Tapi weekend lepas kitorang teringin nak ke situ. Selalu berdua, sekarang dengan Mikael. Dan salah seorang kawan yang kitorang suka yang kerja kat outlet tu pun dah kembali dari outlet Kerteh. Nama dia Muha. Nak jumpa Muha sekadar alasan je. Yang sebenarnya nak testing bawak anak melepak kat kedai kopi. Macam mana rasanya.

Kitorang duduk dalam. Persona non-grata... eh, non-smoking area. Nak isap rokok, gua kena pegi luar. Takpelah. Janji dapat minum kopi sedap dan hisap rokok. Best.

Rupanya si Muha takde malam tu. Datuk dia meninggal (al-fatihah). Tak dapatlah kitorang berjumpa dan berbual malam tu. Takpelah. Next time babeh. Ntah bila.


Si Mikael tak banyak hal. Cuma dia kekal dengan tabiat lazim beliau jika dipakaikan kasut dan didudukkan dalam strollernya. Ya, dia akan bukak dan masukkan kasutnya ke dalam mulut. Sambil gigit-gigit. Ntah apa yang sedap sangat kasut tu ntah? Ada perisa laici barangkali.

Wednesday, September 9, 2009

MASALAH

"Kita hidup ni mesti ada problem Ali..."
-kata Jins Shamsuddin kepada Azmil Mustapha dalam filem Ali Setan

Dulu masa kecik-kecik aku tengok cerita ni memang aku tak ambik pusing langsung dialognya. Sekarang bila aku ingat balik, memang betul pun hidup kita ni mesti ada problem. Kalau tak bukan hidup namanya, kan?

Dalam erti kata lain, tidak boleh tidak, dalam menjalani kehidupan kita ni, pasti kita akan berjumpa dengan Encik/Cik Masalah. Macam-macam jenis masalah ada. Dari sekecik-kecik hingga sebesar-besar masalah. Ada yang melibatkan orang lain atau mungkin kita sorang-sorang je.

Apa? Tak reti masak nasik cara manual (tanak atas dapur) pun boleh jadi masalah kepada sesetengah orang weh.

Dulu masa kecik masalah nak kasut raya idaman kalbu tapi dapat yang idaman kelabu. Nak duit raya banyak-banyak. Nak makan Kam-Kam tiap-tiap hari. Nak mandi sungai tiap-tiap hari. Taknak pegi sekolah tiap-tiap hari. Nak permainan terkini tiap-tiap hari.
Aahh... macam-macam lagilah yang mengarut. Budak-budak katanya...

Sekarang dah besar lain pulak masalahnya. Masalah rambut lambat nak tumbuh, jambang cepat tumbuh, duit manjang tak cukup, nak servis kereta takde masa, harga petrol manjang naik, harga tol manjang naik, gaji tak naik-naik.
Aahh... macam-macam lagilah yang mengarut. Dah dewasa katanya...

Esok dah tua nak pencen ntah apa pulak masalah kehidupan kita, kan? Tapi yang pasti kita tak boleh mengalah. Takde ujian yang diturunkan kepada kita yang tidak dapat kita hadapi, kata Tuhan. Jadinya, semua ujian/masalah yang kita hadapi tu dah difilter dan disahkan bahawa kita akan mampu mengatasinya, insyaallah. Kita cuma perlu gunakan akal dan tawakkal.

Tapi hingga ke hari ini gua masih belum dapat menyelesaikan sepenuhnya masalah Rubik cube gua nih.

IKLANEKA

Friday, September 4, 2009

RM21

Ini babak kisah benar.

Assalamualaikum.

Waalaikumussalam. Hah, untuk berapa orang punya nih?

Sorang je (jawab dengan gaya malu alah).

Hish... macam mana sorang je lagi nih? Bila nak berdua?

Heheheh nantilah insyaallah tahun depan berdua.


*****


Ini juga babak kisah benar.

Assalamualaikum.

Waalaikumussalam. Hah, untuk berapa orang punya nih?

Dua orang (jawab dengan gaya hidung sedikit kembang).

Alhamdulillah... hah, bila nak bertiga pulak?

E'eleh pakcik nih (dalam hati nurani je lah). Nantilah insyallah kalau ada rezeki ada lah. Gua memang cenderung untuk jadi berbulu dengan soalan-soalan sebegitu pada waktu itu. Takpe.


*****


Ini babak yang gua forecast untuk tahun ini.

Assalamualaikum.

Waalaikumussalam. Hah, untuk berapa orang punya nih?

Tiga orang (jawab dengan gaya hidung kembang-kempis).

Alhamdulillah... bila nak tambah lagi?

Jawapan yang gua dah standby: Tengoklah, bila senang nanti saya tambahlah. Yang pakcik pulak bila nak tambah cawangan? (ambik kau sebijik, sibuk sangat).

Gua harap dia tak tempeleng gua kat situ sebab kaedah menjawab gua yang agak shuffle untuk warga emas. Hahaha taklah, takkan gua sebegitu gampang nak berbuat sedemikian, kan?



Gua cadang nak settlekan hari ni hal-ehwal zakat fitrah nih. Takut terlupa. Tahun lepas nyaris aku tak bayar sebab leka punya hal. Makanya, tak dapatlah aku jumpa Amil (pemungut zakat) yang suka tanya aku soalan seperti yang tertera di atas tu tahun ni. Next time pakcik.

Selamat membayar zakat saya ucapkan kepada yang terbabit.

Thursday, September 3, 2009

KEBOLEHAN

Kita semua ada kebolehan. Potensi kebolehan kita masing-masing pula adalah pelbagai. Ada yang berjaya mengeksploit potensi kebolehan mereka ke tahap optimum lantas mewujudkan kepuasan diri. Tidak kurang juga yang berjaya dan cemerlang dalam hidup melalui modus operandi eksploitasi yang sama. Sekali lagi, ia berbeza-beza antara individu.

Ada juga yang berkebolehan dan berpotensi namun kepuasan dan kejayaan tidak pula menyebelahi mereka. Nasib tidak baik? Mungkin. Tiada peluang menunjukkan kebolehan? Mungkin juga. Nasib dan peluang dilihat sebagai satu medium alasan. Ini pandangan peribadi saya. Walaupun kadangkala ia adalah alasan yang terbaik dan paling tepat.

Elemen-elemen luar kadangkala (dan mungkin kerapkala) boleh membantutkan kebolehan dan potensi seseorang. Itu sebenarnya bergantung kepada cara bagaimana seseorang itu menangani gangguan elemen luar tersebut.

Yang paling penting sebenarnya ialah semangat dan keinginan yang datang dari dalam diri. Tekad. Kejayaan tidak datang bergolek. Biasanya ia datang secara terhoyong-hayang, melantun-lantun, melompat kijang dan mungkin juga dengan gear satu sepanjang zaman.

Kebolehan saya: Makan semangkuk Har Mee (Hao Liao) dalam masa kurang daripada 4 minit.

Wednesday, September 2, 2009

SATELIT PUAKA

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia marhain, gua juga punya satu akaun di ASTRO. Gua sign-up pakej Variety, Movie, Cartoon dan Discovery mulanya. Tapi Olympic Beijing tahun lepas membuatkan gua trade Discovery dengan channel Sukan. Tak boleh tahan.

Sengal jugak kalau asyik tengok cerita singa main kejar-kejar tengah padang, cerita ikan paus mengawan, cerita panda makan buluh, cerita eksperimen membazir semata-mata nak semak kebenaran mitos, cerita orang buat motor sendiri dan lain-lain yang seumpamanya lah.

Makanya, sekarang gua ada pakej Variety, Movie, Cartoon dan Sukan sahaja yang harganya rm93.95.

EPL gua follow jugak sikit-sikit. Takdelah fanatik. Kalau mengantuk gua tido jugak tanpa rasa kesal. Ideanya ialah: Kalau tiba-tiba gua terjaga dek mimpi ngeri tengah malam, tak boleh tido dan ada pulak rasa nak menonton bolasepak, channel tu ada kat rumah gua. Tak payah huru-hara nak start kereta pegi Haji Tapah.

Channel pukul bola kecik kaler putih dengan batang besi titanium memang gua tak into sangat dewasa kini. Tak taulah kelak.

Musim EPL dah bermula. Gua macam biasa je. Takdelah kelam-kabut nak pakai jersi team yang menang keesokan harinya kalau malam tadi ada game. Kecoh betul. Kalau sempat gua layan, tak sempat gua tido lagi bagus. Apa pulak ceritanya kalau tengok bola sampai pukul 2 pagi pastu tido tanpa bersolat tahajjud kan? Hah! Heheheh.



Namun, baru-baru ini Astro sudah bikin hati gua panas. Dia dengan sesuka hatinya menaikkan harga pakej sukan dengan alasan yang gua kira tidak munasabah lebih-lebih lagi di waktu gawat begini. Harga baru subscription aku kini menjadi rm105.95. WTF?

Memanglah kos meningkat, tapi bukankah jumlah sucscriber juga meningkat? Kan? Ini samalah macam kes harga tol naik. Pengguna makin ramai patut harga tol makin murahlah, ini makin mahal. Apa barang? Gua tak taulah konsep atau prinsip ekonomi macam mana yang diorang guna pakai sebab yang terbeban ialah rakyat Malaysia jugak akhirnya.

Dan tadi gua telefon Astro kasi kensel channel Sukan gua. Terpaksa beb. Takpelah, kalau rasa nak tengok bola nanti gua lepak je lah Haji Tapah Bandar Seri Putra tak pun NZ Wangsa Maju. Alah, rumah mak mertua gua pun ada channel Sukan lah weh.

Makanya, sekarang gua ada pakej Variety, Movie dan Cartoon sahaja yang harganya rm84.95.


Nota: Aku tak boleh buang channel cartoon sebab Mikael suka tengok channel Disney dan aku suka tengok Ben 10 hahaha.

Tuesday, September 1, 2009

SEMPENA

1. Ada demonstrasi tunjuk perasaan oleh sekumpulan orang banyak yang disertai acara membawa kepala lembu di Shah Alam. Aku syak diorang ada gig Black Metal sebelah malamnya.



2. Harga minyak naik lagi dan kita terpaksa guna minyak RON95 (rm1.80/liter) untuk mengawal inflasi kenaikan harga minyak. Sudahlah kualiti kurang, harga pulak mahal. Dan harga kereta hybrid masih lagi mahal untuk dimiliki oleh rakyat banyak.

3. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Tapi masa perbarisan Hari Merdeka tempoh hari di Parlimen, rakyat yang kena berpanas. Mereka di bawah teduh. Betullah tu. Rakyat yang "didahulukan" kena panas.

4. Datuk Seri Dr. Chuah Soi Lek dipecat dari partinya. Semua orang sibuk. Padahal orang tak tau dia dah ada parti lain kat rumah dia. Parti Tupperware.

5. Kedai mamak penuh gila weekend itu ari sebab orang banyak nak tengok Liverpool menang, MU menang, Arsenal kalah dan lain-lain.

Friday, August 28, 2009

MUNGKINKAH?

Malam gelap bersilih cerah
Yakin diri bersilih goyah
Vivaldi tetap masih berlagu
Inspirasi jiwa di dalam kalbu

Sentak lamunan dek realiti
Emosi pantas jadi melankoli

Antara bintang-bintang beribu
Kaulah jua idaman kalbu
Untuk engkau dan juga aku

Dari jauh engkau hadir
Antara senda dan mungkin menyindir
Tapi hati masih berkata
Aku juga insan biasa
Nantikan saja waktu depanku
Galang ganti yang semua terpaku

Mungkinkah?

Wednesday, August 26, 2009

ANTON EGO

Anton Ego ialah satu karakter dalam filem animasi Ratatouille. Beliau ialah watak seorang pengkritik makanan yang gampang cerewet dan angkuh lagi sombong.


Ini ialah Louis Jouvet inspirasi wajah untuk karakter Anton Ego.

Anton Ego memang eksyen. Tengok hidung dah tau dia eksyen. Belum gaya bercakap dan body language lagi. Itulah karakter beliau seperti yang digambarkan dalam filem Ratatouille.

Tapi yang bagusnya si Anton Ego nih, kalau makanan yang dia test tu bagus maka dia akan kritik bagus. Dan satu Peranchis sudah tahu betapa berpengaruhnya kritikan beliau itu. Taukeh restoran boleh gulung tikar kalau dia kritik tak bagus. Hebat tak hebat lah mamat nih punya penangan. Begitu hebat walaupun dia tak reti menaip menggunakan MS Word dan hanya menggunakan mesin taip lama untuk menaip artikel kritiknya.

Aku rasa Anton Ego membesar dalam suasana yang biasa je sebenarnya. Bukan orang ada-ada atau golongan bangsawan pun. Namun, dia mungkin mempunyai deria rasa yang sangat sensitif dan tinggi standardnya. Dia tahu kelebihannya. Maka sebab itulah dia mampu menjadi pengkritik makanan yang disegani warga Peranchis.

Namun, ada juga aku perhatikan yang cuba menjadi Anton Ego di sekitar tempat aku mencari nafkhah. Tapi ia tidak hanya tertakluk kepada pengkhususan bidang makanan saja malah jenama susu anak dan jenama alat permainan anak pun boleh menentukan kebijaksanaan anak. WTF? Dan aku memang kurang bersetuju dengan perspektif yang mandul sebegitu.

Adakah mereka ini mencadangkan bahawa seseorang anak itu akan lebih pandai atau cemerlang atau bijak atau cepat tangkap atau seumpamanya dengan barangan berjenama dan mahal sahaja? Bagaimana jika kita tidak mampu? Adakah anak kita akan jadi TIDAK pandai atau TIDAK cemerlang atau TIDAK cepat tangkap?

Itu semua ketentuan dan kerja tuhan. Janganlah sesekali bongkak dengan harta dunia lebih-lebih lagi kalau harta itu bukan kau yang punya tapi Ahmad Albab yang punya. Dan janganlah pula dicerca orang yang tak punya kemampuan seperti anda.

Banyak pelajar cemerlang yang membesar dalam persekitaran yang dhaif. Tidak cukupkah itu membuktikan kemandulan fikiran kamu?



Sebusuk-busuk Anton Ego pun, beliau turut melabur untuk restoran Remy (si watak tikus utama) yang diberi nama Ratatouille.

Kamu si kaya yang mandul fikiran melabur apa kepada yang kurang mampu? Caci nista?
Heh.